Padah 'simpan' warga Thailand

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang majikan membenarkan empat warga Thailand yang melanggar syarat pas berada di kedai makan miliknya mengundang padah selepas dikenakan denda RM20,000 oleh Mahkamah Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) Ajil, Hulu Terengganu, hari ini.

Hakim Azman Mustapha turut mengarahkan Nurul Afzan Mohamed, 39, dipenjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat selepas dia mengaku bersalah membenarkan empat warga Thailand yang berusia 15 hingga 39 tahun berada di dalam sebuah kedai makan, di Jalan Teratai off Jalan Chabang Permai, Kampung Baru, Kerteh, Kemaman, kira-kira jam 10 malam, pada 7 November lalu.

Dengan itu, dia mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55 E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E (2) Akta sama.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM30,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram yang dijumpai di premis, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Jabatan Imigresen Malaysia, Terengganu, Nur Hidayah Ramley manakala Nurul Afzan tidak diwakili peguam bela.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki warga Myanmar dihukum penjara tiga bulan dan dikenakan satu sebatan selepas mengaku bersalah berada di negara ini tanpa memiliki sebarang pas yang sah.

Hafiz Md Soyadi, 24, mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) itu di sebuah tapak pembinaan di Kuala Terengganu, kira-kira jam 10 pagi, pada 13 November lalu.

Bagi kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3) Akta yang sama, dia boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan hendaklah disebat tidak lebih enam sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan:


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Jabatan Imigresen Malaysia, Terengganu, Hafizah Mansor.