Warga Thailand didenda RM25,000 seludup diesel

Abdulloh didenda RM25,000 selepas mengaku salah seludup minyak diesel bersubsidi, April lalu. Foto: Ihsan KPDN Perak
Abdulloh didenda RM25,000 selepas mengaku salah seludup minyak diesel bersubsidi, April lalu. Foto: Ihsan KPDN Perak
A
A
A

TAIPING - Seorang lelaki warga Thailand didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping pada Selasa selepas mengaku bersalah menyeludup keluar minyak diesel bersubsidi dari negara ini ke Thailand, April lalu.

Tertuduh, Abdulloh Yamadong, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengisi bahan api ke dalam tangki kenderaan pacuan empat roda yang didaftarkan di Thailand bagi maksud membawa barangan terbabit keluar dari Malaysia melalui darat melebihi kuantiti iaitu sebanyak 71 liter.

Kesalahan itu dilakukan di pos kawalan pintu masuk sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu sekitar jam 8.15 malam pada 29 April lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 dan boleh dihukum di bawah Perenggan 5(a) peraturan sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Roslina Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.