Datuk didakwa cederakan wanita, ugut guna pistol

Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bahru hari ini.
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bahru hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan menggunakan pistol dan dakwaan mencederakan seorang wanita bulan lalu.

Tertuduh, Datuk Razali Daud, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa pada tuduhan pertama melakukan ugutan jenayah dengan cara menakutkan Fauzilah Mohamed, 53, dengan menggunakan pistol yang mana ugutan itu boleh menyebabkan kematian atau cedera parah berhampiran pusat jualan kereta di Jalan Long Yunus di sini pada jam 11 pagi, 28 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Fauzilah pada masa, tarikh dan di lokasi yang sama.

Bagi dakwaan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Prosiding pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Khairul Anuar Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.

Terdahulu, Ahmad ‘Adha memohon jaminan minimum terhadap anak guamnya kerana tertuduh menjaga ibu yang berpenyakit Parkinson dan diabetes, manakala isteri tidak bekerja serta berpenyakit darah tinggi dan migrain.

Artikel Berkaitan:

“Tertuduh pula ada penyakit kebimbangan melampau dan sakit jantung,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Disember depan.

Tertuduh dibebaskan selepas menjelaskan bayaran jaminan berkenaan.