Paras siling hutang 60 peratus cukup buat masa ini

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Terdapat ruang yang luas bagi kerajaan untuk merangsang ekonomi dengan paras siling hutang statutori 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika ini, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Saya rasa masih cukup nisbah hutang daripada KDNK buat masa ini. Pada akhir tahun ini ia dijangka mencecah 56 peratus,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, nilai satu peratus kenaikan hutang adalah bersamaan jumlah RM15 bilion.

“Kalau meningkat kepada 65 peratus daripada nisbah KDNK, peningkatan ini ialah RM75 bilion,” katanya dalam wawancara khas di program Buletin Utama TV3 malam ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada hutang daripada KDNK perlu dipertingkatkan untuk terus memperkasakan ekonomi negara.

“Nisbah hutang berbanding KDNK negara dijangka mencecah 56 peratus menjelang akhir tahun ini dan hampir 60 peratus pada 2021,” katanya.

Mengenai keperluan untuk menaikkan siling hutang, beliau berkata: “Ia sebenarnya bergantung kepada bagaimana kita memerangi pandemik Covid-19."

Kerajaan baru-baru ini menaikkan had statutori hutang daripada KDNK kepada 60 peratus daripada 55 peratus.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Malaysia memperuntukkan sebanyak RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada KDNK bagi Belanjawan 2021.

Ini merupakan peningkatan daripada jumlah peruntukan perbelanjaan bagi 2020 yang disemak semula dengan menaikkannya kepada RM314.7 bilion daripada anggaran awal belanjaan RM297 bilion.

Kementerian Pendidikan akan terus menerima peruntukan terbesar bernilai RM50.4 bilion, menyumbang 15.6 peratus daripada jumlah belanjawan.

Sementara itu, RM17 bilion akan disalurkan ke Tabung Covid-19 selain peruntukan khas RM1 bilion untuk membendung gelombang ketiga pandemik tersebut. - Bernama