Melaka benar solat Jumaat, fardu ikut saiz masjid

Melaka membenarkan solat Jumaat dan solat fardu dilaksanakan di semua masjid dan surau khas Jumaat Negeri Melaka dalam tempoh PKPB yang akan bermula esok hingga 6 Disember ini. Gambar hiasan.
Melaka membenarkan solat Jumaat dan solat fardu dilaksanakan di semua masjid dan surau khas Jumaat Negeri Melaka dalam tempoh PKPB yang akan bermula esok hingga 6 Disember ini. Gambar hiasan.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Melaka membenarkan solat Jumaat dan solat fardu dilaksanakan di semua masjid dan surau khas Jumaat Negeri Melaka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula esok hingga 6 Disember ini.

Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil berkata, bagaimanapun kehadiran jemaah adalah mengikut kapasiti saiz masjid, dengan penjarakan fizikal dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.

“(Selain itu) kelas pengajian takmir, bacaan Yasin antara waktu Maghrib dan Isyak, kuliah Subuh dan kelas ilmu berskala kecil yang sedia ada dibenarkan untuk dilaksanakan di semua masjid dan surau di Melaka.

“Setakat ini tiada masjid mahupun surau di Melaka yang ditutup berikutan penularan koronavirus (Covid-19) dan keadaan masih terkawal,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, ceramah Maulidur Rasul dan lain-lain ceramah jemputan rentas negeri dan dalam negeri yang berskala besar ditangguhkan dalam tempoh PKPB ini, manakala jamuan makan selepas kelas pengajian takmir dan bacaan Yasin pula tidak dibenarkan dengan makanan disyorkan dibungkus dan dibawa balik oleh jemaah.

“Urusan perkahwinan di masjid dan surau adalah tertakluk kepada bidang kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Pendaftar Perkahwinan Daerah dan SOP keselamatan dan kesihatan hendaklah dipatuhi oleh semua masjid dan surau.

“Jabatan Mufti Negeri Melaka akan memberikan maklumat lanjut kepada masyarakat Islam di negeri ini dari masa ke masa berdasarkan nasihat dan maklumat daripada Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri,” katanya.

Kerajaan Persekutuan semalam mengeluarkan arahan untuk melaksanakan PKPB di seluruh semenanjung selama empat minggu bermula esok kecuali bagi Perlis, Pahang dan Kelantan berikutan kes jangkitan Covid-19 yang dilihat semakin meningkat kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 322 kes positif Covid-19 direkodkan di Melaka sehingga semalam. - Bernama