Siasat punca bangkai ikan di Sungai Melaka - Exco Melaka

Rais (kiri) dan Shadan (dua,kiri) meninjau keadaan bangkai ikan yang timbul di Sungai Melaka pada Isnin.
Rais (kiri) dan Shadan (dua,kiri) meninjau keadaan bangkai ikan yang timbul di Sungai Melaka pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri meminta pihak berkaitan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) untuk mengenal pasti punca beratus bangkai ikan bersaiz kecil pelbagai spesies yang timbul di permukaan air Sungai Melaka sejak Ahad.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, insiden bangkai ikan di Sungai Melaka bukan pertama kali dilaporkan dan kajian serta siasatan terperinci perlu dijalankan agar perkara sama tidak berulang lagi.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan bau busuk secara tidak langsung akan mencemarkan imej Melaka sebagai negeri pelancongan sekiranya tindakan segera membersihkan bangkai-bangkai ikan tidak diambil.

Katanya, JAS Melaka juga akan mengambil sampel air bagi menjalankan kajian punca sebenar banyak ikan mati sama ada kemungkinan pertembungan air laut dan sungai, terutama di pintu air atau sebaliknya.

"Tinjauan awal mendapati keadaan sungai berbau hanyir dan busuk akibat kematian ikan yang begitu banyak.

"Kita minta tindakan segera diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut sekali gus memastikan Melaka dalam keadaan baik dan bersih agar dapat dinikmati oleh rakyat dan juga pengunjung," katanya selepas membuat tinjauan di Sungai Melaka di sini, pada petang Isnin.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar dan video mengenai bangkai ikan bersaiz kecil terapung di Sungai Melaka.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput turut memberi penekanan kepada Pembangunan Pantai dan Sungai Melaka (PPSPM) serta Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) agar mencari kaedah yang lebih sesuai bagi memastikan bangkai ikan dapat dibersihkan dengan kadar segera.

"Ini penting bagi mengawal bau yang mengganggu masyarakat setempat dan pelancong yang datang," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga melihat proses pengendalian oleh PPSPM dalam membersihkan bangkai ikan di Sungai Melaka menggunakan jaring.

Sementara itu, Pengarah JAS Melaka, Rosli Mustafa masih menjalankan siasatan dan menunggu keputusan sampel air sungai yang telah diambil.