Sungai Melaka bertukar keruh bukan tercemar

Sungai Melaka bertukar keruh selepas air di Empangan Batu Hampar yang dilepaskan ke kawasan itu.
Sungai Melaka bertukar keruh selepas air di Empangan Batu Hampar yang dilepaskan ke kawasan itu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Perubahan warna air Sungai Melaka yang berlaku ketika ini bukan kerana pencemaran, namun ia berkaitan dengan pengaruh air laut pada musim air pasang dan keadaan itu hanya sementara.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pantai dan Sungai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin yang memaklumkan ia adalah fenomena alam biasa dan berlaku dalam tempoh tertentu.

Murad berkata, keadaan itu juga akan menyebabkan ikan-ikan di sungai 'terkandas' di tepi tebing dan bukannya mati disebabkan pencemaran.

Menurutnya, apa yang berlaku disebabkan oleh air di Empangan Batu Hampar terpaksa dilepaskan untuk mengalir ke Melaka River Cruise (MRC) dan segala sisa kotoran yang telah mendap timbul semula termasuk sampah sarap sehinggakan air Sungai Melaka menjadi keruh dan kotor selain permukaan air dipenuhi sampah sarap.

"Air empangan terpaksa dilepaskan bagi mengelak limpahan yang menyumbang kepada berlakunya banjir terutama di kawasan berdekatan.

"Bagaimanapun fenomena kali ini tidak seteruk sebelumnya dan kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan unit pembersihan PPSPM termasuk mengutip sampah sarap yang terapung di permukaan air," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Keadaan Sungai Melaka yang kotor disebabkan segelintir masyarakat yang membuang sampah sarap ke dalam sungai.
Keadaan Sungai Melaka yang kotor disebabkan segelintir masyarakat yang membuang sampah sarap ke dalam sungai.

Mengulas lanjut, Murad berkata, beliau yakin keadaan air Sungai Melaka akan kembali pulih dalam tempoh terdekat sekiranya cuaca tidak hujan.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi jika hujan lebat berterusan di kawasan hulu sungai, air akan turun ke bawah menyebabkan paras empangan tinggi dan air empangan terpaksa dilepaskan maka keadaan air sungai menjadi keruh," katanya.

Sementara itu, penduduk Pengkalan Rama, Noradibah Ahmad Shah, 34, berkata, dia sering beriadah sepanjang Sungai Melaka dan terkejut melihat air sungai berubah warna.

Menurutnya, lebih menyedihkan sikap manusia yang gemar membuang sampah sarap seperti botol plastik, lampin pakai buang dan sebagainya ke dalam sungai.

"Selalunya air sungai jernih tapi kalau hujan bukan sahaja bertukar warna malah pelbagai jenis sampah terapung.

"Pernah berlaku ratusan ikan mati dan masyarakat seharusnya bertanggungjawab untuk bersama-sama menjaga sungai," katanya.