Aktiviti di masjid, surau dalam kawasan PKPB ditangguh

Arahan pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau di negeri ini akan dikeluarkan dari semasa ke semasa tertakluk kepada situasi semasa.- Gambar hiasan.
Arahan pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau di negeri ini akan dikeluarkan dari semasa ke semasa tertakluk kepada situasi semasa.- Gambar hiasan.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Semua aktiviti keagamaan seperti kuliah, ceramah dan tazkirah di masjid dan surau dalam kawasan Mukim 12 Daerah Barat Daya perlu ditangguhkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun pelaksanaan solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat serta solat fardu lima waktu masih dibenarkan namun perlu mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), Mohd Zakuan Zakaria berkata, pihaknya memandang serius penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini yang semakin meningkat di beberapa kawasan sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, berikutan perkembangan itu semua pengerusi kariah masjid dan surau perlu memastikan pekeliling yang dikeluarkan dipatuhi oleh semua ahli kariah.

"Pelaksanaan solat Jumaat dibenarkan mengikut keluasan ruang solat dan ruang yang bersesuaian dalam kawasan masjid dengan mengambil kira penjarakkan fizikal sekurang-kurangnya satu meter di kalangan jemaah.

"Solat lima waktu juga dibenarkan dan semua ahli kariah perlu memastikan semua SOP dipatuhi termasuk memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, mengambil suhu dan merekodkan kehadiran serta membawa sejadah sendiri," katanya menerusi pekeliling yang dikeluarkan kepada Pengerusi masjid dan surau di Daerah Barat Daya.

Mohd Zakuan berkata, arahan pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau di negeri itu akan dikeluarkan dari masa ke masa tertakluk kepada situasi semasa.

Malah kebenaran itu perlu mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negeri sebelum sebarang aktiviti dibenarkan dilakukan di masjid dan surau terlibat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Mukim 12 Daerah Barat Daya Pulau Pinang berkuat kuasa pada 6 November sehingga 19 November depan.

Pelaksanaan PKPB meliputi kawasan Pusat Beli Belah Queensbay, Bayan Baru, Sungai Ara, Bayan Lepas, Batu Maung dan Zon Perindustrian Bebas serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Penguatkuasaan PKPB dilakukan berikutan sehingga 3 November lalu, sebanyak 35 kes positif Covid-19 termasuk 11 kes baharu direkodkan di mukim berkenaan.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, beberapa ketetapan dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Agama Islam) semalam termasuk menghadkan kehadiran maksimum 10 orang ahli keluarga untuk upacara akad nikah yang diadakan di Pejabat Agama Daerah.

Selain itu, bagi pengebumian jenazah hanya dibenarkan dihadiri oleh petugas kubur, pembaca talkin dan keluarga jenazah dengan kehadiran paling minima.