Dua banduan terima pengampunan Sultan Perak

Kenyataan media mengenai Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Perak Bilangan 1/2020.
Kenyataan media mengenai Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Perak Bilangan 1/2020.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memberi pengampunan kepada dua banduan sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda ke-64 esok.

Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, perkara itu diputuskan menerusi Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Perak Bilangan 1/2020 pada 3 November lalu yang dipengerusikan oleh baginda.

Menurutnya, sebanyak 12 rayuan dipersembahkan untuk pertimbangan baginda bagi mendapatkan pengampunan di dalam persidangan tersebut.

"Setelah menimbangkan laporan dari Jabatan Penjara dan pendapat Peguam Negara serta pandangan dan ulasan yang dipersembahkan oleh ahli-ahli Lembaga Pengampunan, Sultan Perak berpuas hati bahawa hukuman yang dilalui oleh dua banduan itu telah memberi pengajaran berguna kepada mereka untuk berubah dan seterusnya berkelakuan baik.

"Baginda dengan itu menitahkan dua orang banduan yang tarikh bebas awal masing-masing adalah pada 18 Mei 2022 dan 24 Jun 2023 diperkenankan pembebasan lebih awal berkuat kuasa hari Jumaat, 6 November 2020," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Laman Seri Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd Zahidi Haji Zainuddin dan Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

Dalam pada itu, Ahmad Suaidi berkata, Sultan Nazrin turut menitahkan nasihat bahawa sesuatu hukuman yang dijatuhkan bertujuan memberikan pengajaran kepada masyarakat agar undang-undang negara didaulatkan.

Beliau berkata, baginda bertitah, pengampunan atau meringankan sesuatu hukuman yang diputuskan oleh mahkamah hanya akan dipertimbangkan apabila banduan menunjukkan sifat insaf, sedar dan menyesal terhadap kesalahan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, banduan juga perlu memohon maaf atas kesalahan dilakukan dan berkelakuan baik semasa berada di dalam tahanan serta menunjukkan azam untuk memulakan penghidupan baharu.

Sementara itu, Majlis Bacaan Surah Yassin dan Doa Selamat sempena Hari Keputeraan Sultan Perak akan diadakan di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) pada waktu Solat Jumaat, esok.

Majlis yang sama akan turut diadakan di semua masjid-masjid daerah di seluruh Perak dengan diketuai oleh Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing.