Daerah ramai penduduk rekod kes Covid-19 tertinggi

Masidi ketika mengadakan sidang akhbar di sini hari ini.
Masidi ketika mengadakan sidang akhbar di sini hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Daerah yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai merekodkan jumlah kes koronavirus (Covid-19) yang tinggi sehingga mencatat lebih 200 kes dalam sehari.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, statistik ini dilihat disebabkan jangkitan di kalangan kontak rapat.

"Kalau kita lihat daripada statistik hari ini, daerah di mana penduduknya yang tinggi adalah daerah yang menunjukkan jumlah kes yang agak tinggi seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Penampang, Putatan dan Lahad Datu.

"Statistik di Kota Kinabalu dan Sandakan, kita dapati bahawa jangkitan berlaku di kalangan kontak rapat. Begitu juga Putatan dan Penampang dari segi sosialisasi, secara logiknya akan timbul masalah yang sama tempat yang mempunyai penduduk yang tinggi dan daerah ini berada di pinggir bandaraya.

"Beberapa daerah (jumlah penduduk kecil) dilihat tidak mencatat kes baharu hari ini dan ini sebagai satu cerminan kepada keadaan kedudukan penularan di Sabah bahawa semakin banyak daerah yang menunjukkan 'trend' penurunan yang cukup baik," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu, Masidi sekali lagi mengingatkan masyarakat terutama di daerah yang mencatat kes tinggi yang mempunyai kontak rapat supaya menjalani ujian Covid-19 bagi mengelak berlaku penularan wabak itu.

"Kita nasihatkan kepada sesiapa yang mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19 agar segera menjalankan ujian supaya tidak merebak kepada yang lain," katanya.

Terdahulu, diminta mengulas keadaan simpanan bekalan darah, Masidi berkata, ketika ini hanya terdapat sebanyak 1,350 unit saja simpanan bekalan darah di Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Penggunaan dalam sehari untuk seluruh Sabah sekitar 220 unit dan bilangan pendermaan darah harian sekitar 150 unit.

"Ini bermakna penggunaan melebihi daripada pendermaan darah yang dicatat setiap hari dan jika situasi ini berterusan, simpanan bekalan darah akan berada di bawah tahap membimbangkan hanya boleh bertahan dalam tempoh dua minggu.

"Bekalan darah amat penting untuk memastikan kesinambungan untuk perkhidmatan kesihatan terutama untuk pesakit kemalangan, talasemia dan ibu bersalin, jadi saya merayu kepada penderma darah agar tampil di hospital yang berdekatan," katanya.

Beliau dalam pada turut memaklumkan bahawa pihak hospital akan memudahkan penderma untuk menderma darah di hospital walaupun dalam keadaan semasa penularan wabak Covid-19.

"Bagi mereka yang ingin menderma darah, pihak hospital akan memastikan mereka akan ditempatkan dalam situasi tidak terdedah pada jangkitan Covid-19," katanya.

Terdahulu, Masidi memaklumkan Sandakan mencatatkan 226 kes hari ini disusuli Kota Kinabalu (212), Tawau (71), Penampang (49), Putatan (22), Lahad Datu (21), Tuaran (20), Keningau (21), Semporna (9) dan Kudat (4).