Usahawan perlu bijak ubah strategi perniagaan berdepan Covid-19

Rozzanamoon Rahmat dalam program Wacana Al-Quran Siri 12 bertajuk Kebangkitan Usahanita Pasca Pandemik Covid-19 yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. - FOTO ROSLI TALIB
Rozzanamoon Rahmat dalam program Wacana Al-Quran Siri 12 bertajuk Kebangkitan Usahanita Pasca Pandemik Covid-19 yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan usahawan perlu bijak mengatur strategi baharu untuk terus meraih pendapatan meskipun negara masih berdepan dengan krisis pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ihsan Rakyat, Datuk Rozzanamoon Rahmat berkata, dalam tempoh mencabar ini, golongan terbabit perlu lebih fokus bagi mengelak perniagaan terhenti dan mampu keluar dari zon krisis.

Menurutnya, Covid-19 adalah kejutan paling besar lebih-lebih lagi kepada golongan usahawan dan peniaga apabila banyak perniagaan terkesan selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

“Ia bukan mudah untuk meneruskan strategi perniagaan yang dirancang apatah lagi kelangsungan hidup, namun usahawan harus kekal positif dan tidak berputus asa.

“Bila situasi ini berlaku, kami perlu mengambil tindakan segera serta melakukan banyak perubahan terutama melibatkan strategi perniagaan. Kami mula mengatur strategi baharu bagi memulihkan perniagaan masing-masing,” katanya semalam.

Rozzanamoon yang juga Pengarah Urusan SRT Travel And Tours Sdn Bhd berkata, usahawan dan peniaga juga perlu banyak bersabar serta memenuhi masa dengan meningkatkan ilmu dan pengetahuan dalam kemahiran keusahawanan selain memperkuatkan fizikal dan mental untuk mengharungi cabaran global ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Contohi semangat berniaga Siti Khadijah

Katanya, mereka juga berdepan cabaran untuk mengekalkan pekerja selain bergelut dengan rasa tanggungjawab terhadap mereka yang kemungkinan besar tidak dapat menampung kehidupan sekiranya perkhidmatan ditamatkan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi saya berbincang dengan semua pekerja mengenai perkara ini dan terpaksa memotong gaji mereka demi kelangsungan syarikat. Mereka (pekerja) faham dan sama-sama menempuh cabaran getir ini.

“Kita perlu bersyukur dalam keadaan ini, kita masih mempunyai pekerjaan walaupun terpaksa dipotong gaji berbanding mereka yang kehilangan pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, setiap usahawan yang berjaya tidak akan cepat berserah serta berjiwa lemah, sebaliknya perlu bangkit menghadapi perniagaan dalam normal baharu ini.