Contohi semangat berniaga Siti Khadijah

Dari kiri: Fazrul, Rozzanamoon, Ustazah Noor Laila Aniza dan Ustaz Ahmad Tirmizi dalam program Wacana Al-Quran Siri 12 bertajuk Kebangkitan Usahanita Pasca Pandemik Covid-19 yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. - FOTO ROSLI TALIB
Dari kiri: Fazrul, Rozzanamoon, Ustazah Noor Laila Aniza dan Ustaz Ahmad Tirmizi dalam program Wacana Al-Quran Siri 12 bertajuk Kebangkitan Usahanita Pasca Pandemik Covid-19 yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

USAHAWAN terutamanya golongan wanita perlu mempelajari serta mencontohi semangat dimiliki tokoh usahawan Islam, Saidatina Siti Khadijah Al-Khuwailid yang berjaya dalam perniagaan walaupun berdepan pelbagai krisis.

Pengarah Urusan IBS Excel Training & Consultancy, Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria berkata, usahawan perlu mempunyai semangat besar dan tidak hanya mengharapkan keuntungan semata-mata.

Menurutnya, terdapat banyak perkara tentang cara Siti Khadijah berniaga yang boleh dicontohi pada zaman moden ini dan boleh dilaksanakan dengan mudah melalui istiqamah serta mengambil tindakan.

“Beliau sangat bijak mengembangkan hartanya selain sangat pandai menjaga diri dan maruah. Siti Khadijah sangat suci dan bersih serta pandai membawa diri walaupun ketika itu beliau bekerja dengan golongan lelaki.

“Ketika zaman itu, orang-orang Yahudi menyekat ekonomi orang Islam, tidak diberi makan dan minum, dilarang berjual beli serta berkahwin. Namun Siti Khadijah melaburkan duitnya dengan membeli air walaupun harga mahal dan menggunakan duit itu ke jalan yang diredai ALLAH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Al-Quran Siri 12 bertajuk Kebangkitan Usahanita Pasca Pandemik Covid-19 yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Noor Laila Aniza. - FOTO ROSLI TALIB
Noor Laila Aniza. - FOTO ROSLI TALIB

Pada program wacana itu, Ustazah Noor Laila Aniza bergandingan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ihsan Rakyat, Datuk Rozzanamoon Rahmat sebagai panelis, manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator serta qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi yang membacakan Surah al-Balad dan al-Baqarah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, walaupun mempunyai perniagaan berskala besar, Siti Khadijah masih berdepan dengan cabaran untuk menjaga kebajikan umat Islam yang tertindas.

“Siti Khadijah mempunyai perniagaan berskala besar. Ada satu ketika beliau menghantar Nabi Muhammad SAW menjadi ejen ke Syria dan meminta Baginda membeli barangan berkualiti tinggi seperti sutera untuk dibawa pulang ke Makkah.

“Dalam perjalanan pulang ke Makkah, sutera-sutera ini dijual kepada golongan kaya dan hasilnya disalurkan kepada umat Islam. Keuntungan diperoleh pula dibahagi-bahagi kepada mereka yang memerlukan.

“Siti Khadijah mengamalkan nilai-nilai agama dalam perniagaannya. Beliau percaya nilai agamanya mempengaruhi perniagaannya juga dan beliau sering memohon keberkatan ALLAH SWT untuk perniagaannya serta bersedekah semua harta bendanya,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Laila Aniza berkata, al-Quran juga menggariskan panduan serta peraturan mengenai adab dalam perniagaan.

Menurutnya, ALLAH SWT mengharamkan aktiviti riba dan dalam surah al-Baqarah ALLAH telah mengisytiharkan peperangan kepada orang yang mengambil riba, selain larangan mengamalkan monopoli dalam perniagaan mereka.

“Contohnya ketika berdepan situasi kritikal seperti pandemik Covid-19 ini, peniaga mula sorok barang dan akan mengenakan harga yang tinggi dan perbuatan seumpama itu juga haram dalam Islam kerana ia mendatangkan kesusahan kepada orang lain.

“Selain itu Islam juga melarang peniaga mengambil untung ke atas orang lain. Elak dengki-mendengki sesama peniaga sebaliknya mendoakan pesaing kita supaya kita lebih tenang dan pada masa sama memperbaiki pertimbangan kita dalam perniagaan,” katanya.

quote-wacana
quote-wacana