Malaysia tidak perlu berpihak kepada mana-mana kuasa besar

Nasaie Ismail
Nasaie Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada isu bagi Malaysia untuk sama ada berkecuali atau menyokong mana-mana kuasa besar di sebalik konflik yang berlaku di Asia Barat pada masa ini.

Pemerhati Politik Antarabangsa, Nasaie Ismail berkata, perubahan paksi kuasa dari unipolar Amerika Syarikat kepada dunia yang lebih multipolar kini menyebabkan tiada keperluan kepada mana-mana negara untuk tunduk kepada sebarang kuasa besar.

“Saya tidak rasa ada isu untuk kita berpihak dengan pihak yang pertama atau kedua kerana pihak-pihak yang kita nyatakan tadi pun gabungan atau sokongannya bersifat rapuh situasinya ketika ini.

“Tidak ada kuasa dominan sepenuhnya seperti mana era yang lalu dan situasi ini semestinya sudah berbeza kerana terdapat kepentingan ekonomi terhadap negara masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Edisi ke-436 bertajuk ‘Konflik Iran-Israel: Kesan Kepada Malaysia’ yang dihoskan oleh Ismail Adnan di Studio F Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Wacana Sinar Harian edisi 436, bertajuk
Wacana Sinar Harian edisi 436, bertajuk "Konflik Iran-Israel: Kesan kepada Malaysia" (dari kiri) hos, Ismail Adnan; Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan; Pensyarah School of Law and Governance Universiti Taylor's, Dr Saidatul Nadia Abd Aziz dan pemerhati politik antarabangsa, Nasaie Ismail yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Turut hadir Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan dan Pensyarah School of law and Governance Universiti Taylor’s, Dr Saidatul Nadia Abd Aziz.

Mengulas lanjut, menurut Nasaie, selepas peristiwa Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober lalu, Israel kini memasuki fasa penurunan yang sangat laju dan drastik susulan keengganan mereka untuk melakukan gencatan senjata walaupun sudah berkali-kali mendapat desakan masyarakat seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, negara seperti Brazil, Bolivia, China, Afrika Selatan dan Namibia telah membuat langkah drastik dengan memutuskan hubungan bersama Israel malah mengambil tindakan undang-undang terhadap serangan kemanusiaan yang berlaku di Gaza.

“Walaupun kita orang awam tiada kepentingan dengan kerajaan, tetapi kita mahu Palestin merdeka sebab move (tindakan) hari ini bukan melibatkan negara kita sahaja atau negara-negara Arab, tetapi masyarakat antarabangsa khususnya di barat yang mahu menamatkan penjajahan ke atas Palestin sejak tahun 1948.

“Jadi ini merupakan musim dunia memencilkan Israel bukan musim menormalisasikan Israel. Terdapat sebahagian negara telah bertindak menarik duta dan menghentikan hubungan diplomatik dengan mereka,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!