Air mata bapa gugur selepas Ahmad Azza Fahmi hilang dari pandangan selama-lamanya

Bapa kepada Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar iaitu Azhar Khaiden, 54 hadir pada upacara Pengkebumian Keperwiraan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh hari ini. Foto Bernama

A
A
A

TANJUNG MALIM - "20 tahun pertama dia dengan saya, dua tahun di Ulu Tiram baliknya jasad terbujur kaku."

Demikian luah bapa, Azhar Khaiden, 54, selepas selesai pengebumian anaknya, Konstabel Ahmad Azza Fahmi yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh di Bidor pada Sabtu.

Azhar yang juga seorang guru berkata, kesedihan mula menjentik hati apabila waktu perpisahan bersama anak keempat daripada lapan beradik itu semakin dekat.

"Semasa di JB (Johor Bahru) saya tidak menitiskan air mata tetapi apabila saat hilang daripada pandangan, kesedihan itu mula terasa.

"Di luar orang lihat saya kuat tetapi di dalam saya menangis tengah malam. Maklum sahajalah 20 tahun pertama bersama saya, dua tahun di Ulu tiram, baliknya jasadnya terbujur kaku.

Nor Haliza menyiram air pada pusara anaknya, Konstabel Ahmad Azza Fahmi sebaik selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor pada Sabtu.
Nor Haliza menyiram air pada pusara anaknya, Konstabel Ahmad Azza Fahmi sebaik selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor pada Sabtu.

"Alangkan kita bela anak kucing sekali pun, anak kucing mati kita sedih, inikan pula anak sendiri," sebaknya.

Azhar berkata, perjalanan dari Johor Bharu ke kampung halaman sambil menemani keranda anaknya dalam van jenazah meruntun hatinya.

Artikel Berkaitan:

"Suasana berbeza sepanjang perjalanan yang memakan masa tujuh jam berada di sisi keranda jenazah, jadi saya sekali sekala bila pandang menitis air mata.

"Apabila sampai di rumah mengimankan solat jenazahnya, saya tidak boleh tahan dan sepatutnya baca tahlil tetapi saya serah kepada imam takut tidak boleh baca kerana hati sudah tersentuh.

"Sebelum ini kita boleh nampak sekarang sudah hilang dari pandangan mata. Itulah takdir yang berlaku," katanya.

Azhar menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak terlibat sebaik selesai pengebumian anaknya, Konstabel Ahmad Azza Fahmi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor pada Sabtu.
Azhar menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak terlibat sebaik selesai pengebumian anaknya, Konstabel Ahmad Azza Fahmi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor pada Sabtu.

Sementara itu, Azhar menyampaikan hasrat agar anak ketiganya, Lans Koperal Ahmad Azza Fitri, 24, yang berkhidmat di Balai Polis Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah dapat dipindahkan dalam usaha untuk menaikkan semangat kembali isterinya, Nor Haliza Awaluddin, 49.

Tambahnya, permintaan itu disampaikan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

"Anak lelaki ada dua, seorang sudah pergi (meninggal dunia) dan seorang lagi ada tetapi jauh, jadi tolong dekatkan dengan ibunya untuk pulihkan semangat.

"Seorang lagi anak perempuan kami akan menjalani temuduga di Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta pada Isnin ini. Saya harap dia diterima masuk sebagai galang ganti arwah abangnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!