426 juta sertai World #QuranHour

Suasana World #QuranHour yang diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Khamis.
Suasana World #QuranHour yang diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 426 juta orang menyertai program World #QuranHour 2024 yang diadakan pada 4 April lalu di Masjid Negara, Kuala Lumpur berdasarkan capaian di media sosial menggunakan tanda pagar World Quran Hour sehingga jam 9.30 pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, secara fizikal pula, sebanyak 6,000 lokasi yang berdaftar di seluruh negara dibuka untuk menyemarakkan lagi program berkenaan.

Beliau berkata, kali ini pihaknya menerima penyertaan paling ramai daripada agensi dan badan beruniform iaitu hampir 60 peratus.

MARHAINI
MARHAINI

“Saya rasa itu sebenarnya yang kita harapkan, semangat orang ramai untuk menggaji dan memahami al-Quran. Penyertaan yang memberangsangkan itu memberi makna kempen World #QuranHour menjadi pencetus kepada masyarakat agar lebih faham kitab suci itu dan bukannya sekadar membaca.

“Perkara paling penting adalah mesej yang disampaikan oleh surah al-Jumu'ah dan kita mahu menyasarkan perubahan kesatuan serta sosial bagi umat Islam dengan tiga objektif iaitu ulama, umara dan ummah,” jelasnya ketika dihubungi Sinar Harian.

World #QuranHour kesembilan yang mengangkat tema ‘Ummah #GrandReset: Kesatuan & Transformasi Sosial’ dengan berpandukan surah al-Jumu’ah berlangsung tepat jam 12 tengah hari pada Khamis.Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun ini juga lebih bermakna dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub.Tambah Marhaini, semua orang perlu lakukan perubahan setiap kali Jumaat dan diharapkan menjadi momentum agar lebih baik dengan empat formula utama.

Artikel Berkaitan:

“Pertama kita kena baca al-Quran, kedua melakukan penyucian jiwa, ketiga mengajar diri agar mengikut panduan al-Quran dan terakhir sentiasa mengambil hikmah daripada apa yang berlaku dalam kehidupan.

“Jadi proses itu perlu berlaku. Kita harap selepas ini orang ramai akan lebih memahami serta menjadikan al-Quran sebagai panduan,” ujarnya.


INFO

6,000 lokasi berdaftar dibuka untuk jayakan program.

Disertai hampir 60 peratus agensi, badan beruniform.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28