Lelaki lari terjun longkang, dikejar lepas langgar beberapa kenderaan

Pemandu kereta Proton Satria bertindak terjun ke dalam longkang kerana ketakutan selepas terlibat beberapa kejadian kemalangan di Klang, pada Jumaat.
Pemandu kereta Proton Satria bertindak terjun ke dalam longkang kerana ketakutan selepas terlibat beberapa kejadian kemalangan di Klang, pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki bertindak terjun ke dalam longkang bagi menyelamatkan diri selepas dikejar sekumpulan individu berikutan kejadian kemalangan membabitkan kereta dipandunya dengan beberapa kenderaan lain pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, sehingga Sabtu, 10 laporan kes kemalangan jalan raya melibatkan kejadian terbabit diterima untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, kejadian bermula kira-kira jam 1 petang ketika kereta dipandu lelaki berusia 24 itu dari arah Shah Alam menghala ke Jalan Kebun, di sini telah bergesel dengan sebuah motosikal sehingga berlaku pertengkaran mulut dan penunggang motosikal terbabit turut mengancam merosakkan keretanya.

"Disebabkan ketakutan, pemandu kereta itu melarikan diri ke arah Jalan Raja Nong selepas dikejar penunggang motosikal terbabit.

"Sampai di Jalan Raja Nong, kereta terbabit telah bergesel dengan sebuah motosikal lain, namun pemandunya meneruskan perjalanan ke arah Jalan Sungai Jati sebelum dikejar oleh kedua-dua penunggang motosikal terlibat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kereta jenis Proton Satria melawan arus selepas dikejar orang awam yang terlibat dalam kemalangan di Klang, pada Jumaat.
Kereta jenis Proton Satria melawan arus selepas dikejar orang awam yang terlibat dalam kemalangan di Klang, pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau berkata, kereta itu kemudian telah melanggar sebuah kereta lain di hadapannya di persimpangan Jalan Sungai Jati sebelum bertindak mengundur dan melawan arus.

Tambahnya, tindakan pemandu itu mengakibatkan keretanya bergesel dengan beberapa kenderaan lain sebelum berhenti selepas melanggar sebuah lori yang diparkir di bahu jalan.

Artikel Berkaitan:

"Kerana takut, pemandu Proton Satria itu telah keluar dari keretanya dan berlari menyelamatkan diri kerana risau keselamatan terancam apabila dikejar oleh orang ramai.

"Pemandu terbabit bertindak terjun ke dalam longkang bagi menyelamatkan diri, namun beberapa orang awam telah membaling objek dan memukulnya dengan pelepah kelapa sebelum menyelamatkan diri di bawah jambatan," ujarnya.

Kata Hoong Fong, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang tiba di lokasi kemudian telah membawa pemandu terbabit ke balai polis untuk siasatan.

Jelasnya, orang ramai dinasihat agar tidak mengambil tindakan sewenangnya hingga mendatangkan kecederaan kepada orang lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!