Rasuah cemar imej tentera

Sejak tiga dekad lalu, isu rasuah membabitkan pelbagai perolehan pertahanan negara kuasa Asia Selatan itu disifatkan pemerhati antarabangsa sebagai semakin tidak terkawal, selain dilakukan secara sulit dan tersusun. - Foto 123RF
Sejak tiga dekad lalu, isu rasuah membabitkan pelbagai perolehan pertahanan negara kuasa Asia Selatan itu disifatkan pemerhati antarabangsa sebagai semakin tidak terkawal, selain dilakukan secara sulit dan tersusun. - Foto 123RF
A
A
A

WALAUPUN menjadi pasukan tentera keempat terbesar di dunia, hakikatnya Angkatan Tentera India masih dibelenggu masalah serius yang menjadi api dalam sekam iaitu salah guna kuasa dan rasuah.

Sejak tiga dekad lalu, isu rasuah membabitkan pelbagai perolehan pertahanan negara kuasa Asia Selatan itu disifatkan pemerhati antarabangsa sebagai semakin tidak terkawal, selain dilakukan secara sulit dan tersusun.

Paling menggemparkan adalah skandal perolehan sistem artileri medan membabitkan kerajaan India dengan firma Sweden, Bofors pada tahun 1986 melibatkan kontrak bernilai AS$285 juta. Pembelian itu bagi membekalkan 410 laras meriam FH77 155mm.

Beberapa individu politik yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Rajiv Gandhi terbabit menjadi orang tengah untuk mendapatkan habuan bagi memudahkan peluang mendapatkan kontrak tersebut.

Pembabitan firma Bofors dalam skandal itu memalukan Sweden yang berada pada senarai negara keenam terendah dalam indeks jenayah rasuah dunia.

Kesan daripada skandal tersebut menyebabkan kerajaan India menyenarai hitam firma berkenaan daripada terlibat dalam sebarang perolehan.

Pembongkaran media tempatan, Tehelka tentang salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan ahli politik serta pegawai kanan tentera menerusi siasatan sekumpulan wartawannya pada tahun 2001 pula memalukan kepimpinan Bhartiya Janata Party (BJP).

Tehelka yang dikenali menerusi laporan pendedahan eksklusif menjalankan siasatan selama lapan bulan yang diberi nama Operasi West End bertujuan membongkar salah laku itu.

Artikel Berkaitan:

West End International adalah nama sebuah syarikat persenjataan palsu yang kononnya berpangkalan di London.

Bermula dengan pegawai politik rendah, pihak West End International diperkenalkan peringkat demi peringkat sehingga kepada pegawai kanan tentera berpangkat jeneral yang terlibat dalam hal perolehan bagi membuka jalan mendapatkan kontrak.

Mereka turut diperkenalkan kepada beberapa pegawai atasan parti BJP yang didakwa mempunyai hubungan baik dengan Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri termasuklah Presiden parti itu, Bangaru Laxman. Semua yang mereka temui meminta suapan.

Negara yang berada pada kedudukan ke-16 dalam indeks rasuah dunia, Belgium turut tidak terkecuali apabila terbabit rasuah dan salah guna kuasa dalam kontrak angkatan tentera negara Eropah itu.

Penipuan

Skandal Agusta-Dassault pada tahun 1990-an mencemari landskap politik Belgium kerana bukan sahaja membabitkan rasuah tetapi juga jenayah pengubahan wang haram dan penipuan.

Skandal itu melibatkan kontrak membekalkan sebanyak 46 buah helikopter jenis Agusta A109 buatan Itali kepada tentera Belgium dan kerja-kerja menaik taraf sistem elektronik pesawat tempur F-16 oleh firma Perancis, Dassault Aviation melibatkan nilai jutaan dolar.

Siasatan skandal itu menyebabkan Willy Claes, Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara ketika itu yang juga pemimpin Parti Sosialis (SP) Belgium meletak jawatan.

Beberapa orang menteri dan pemimpin kanan parti itu turut terbabit. Siasatan mendapati kedua-dua firma Agusta dan Dassault telah menyalurkan kira-kira EUR$4 juta untuk dana politik.

Ruang dan peluang untuk melakukan rasuah menyaksikan syarikat konglomerat di Korea Selatan sanggup membayar AS$3 juta sebagai dorongan bagi mendapatkan kontrak pembesaran Kem Humphrey yang merupakan pangkalan terbesar tentera Amerika Syarikat (AS) di luar negara.

Projek pembesaran kem tersebut yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Seoul bermula pada tahun 2017. Ia dijangka siap tahun ini bagi menyediakan pelbagai kemudahan seperti terdapat di AS untuk 42,000 tentera.

Siasatan Jabatan Kehakiman AS mendedahkan pegawai kanan Jabatan Kejuruteraan Tentera AS bersama pegawai di Kementerian Pertahanan Korea Selatan terlibat meluluskan kontrak bernilai AS$400 juta kepada firma hartanah ketiga terbesar Korea Selatan, SK Group.

Benarlah, rasuah dan salah guna kuasa menghakis integriti serta prinsip moral.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu