PBT, polis perlu tegas pantau PKPB: Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin meminta PBT dan polis lebih tegas terhadap pemantauan PKPB berikutan statistik kes baharu Covid-19 di negeri ini yang terus meningkat. - Foto Facebook Selangor Royal Office
Sultan Sharafuddin meminta PBT dan polis lebih tegas terhadap pemantauan PKPB berikutan statistik kes baharu Covid-19 di negeri ini yang terus meningkat. - Foto Facebook Selangor Royal Office
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis di Selangor agar lebih tegas dalam pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan statistik kes baharu koronavirus (Covid-19) di negeri ini yang terus meningkat.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah itu, baginda menzahirkan kekecewaan kerana masih terdapat segelintir pihak tidak mengambil serius, lalai dan ingkar dalam mematuhi arahan PKPB khususnya pengendali premis-premis hiburan dan makanan.

Sultan Sharafuddin bertitah, sekiranya kedegilan pematuhan SOP di bawah PKPB ini berterusan, penularan wabak berbahaya Covid-19 sukar dibanteras sepenuhnya.

Selangor mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sejumlah 225 kes pada 1 November lalu.

Dalam kenyataan sama dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada dua petugas Hospital Sungai Buloh (HSB) yang menerima pengiktirafan Anugerah Kesihatan Global (GHA 2020) baru-baru ini.

Dua petugas berkenaan adalah Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit, Dr C Suresh Kumar dan Ketua Jabatan Anestesia dan Rawatan Rapi, Dr Shaiful Azman Zakaria.

Baginda amat berbangga dengan pencapaian cemerlang dicatatkan petugas barisan hadapan di HSB khususnya dan di Selangor amnya yang telah menunjukkan dedikasi serta komitmen tinggi dalam usaha menghapuskan wabak Covid-19.

Baginda berharap para petugas barisan hadapan terus tabah dan cekal dalam menjalankan tugas masing-masing merawat pesakit Covid-19.

Artikel Berkaitan: