PKPB tidak dilaksana di Johor Bahru

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dilaksana di daerah ini walaupun sudah diisytiharkan sebagai zon merah.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, ini kerana keadaan semasa di daerah ini masih lagi terkawal dan masyarakat tidak perlu bimbang atau panik.

Menurutnya, PKPB tidak dilaksanakan kerana kebanyakan kes yang dilaporkan daripada kluster sedia ada dan hanya tertumpu kepada penularan di dalam keluarga serta tempat kerja ahli keluarga mereka.

"Institusi tempat kerja yang terlibat telah diletakkan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin daerah ini diklasifikasikan sebagai kawasan zon merah berikutan kes koronavirus (Covid-19) yang tinggi.

Susulan itu semua sekolah termasuk sekolah agama, Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska), Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) dan pusat aktiviti ditutup.

Vidyananthan berkata, sehingga semalam empat kluster yang masih aktif dilaporkan di negeri ini melibatkan Kluster Meldrum dengan enam kes, Kluster Bayu (lapan kes), Kluster Kempas (42 kes) dan Kluster Rinting (10 kes).

Menurutnya, ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sebanyak 906 kes dengan 21 kematian.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 814 kes telah pulih iaitu 89.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dengan 70 kes Covid-19 yang aktif dan telah diasingkan serta diberi rawatan di hospital.

"Kes indeks bagi Kluster Meldrum merupakan seorang lelaki berumur 71 tahun yang dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 27 Oktober 2020. Susulan itu, pengesanan kontak dan ujian Covid-19 telah dijalankan.

"Kita mendapati tiga ahli keluarganya dan dua kontak rapat kepada ahli keluarga didapati positif pada 28 Oktober 2020. Sehingga 30 Oktober 2020, seramai 219 kontak dikenal pasti di mana 138 adalah negatif dan 75 masih lagi menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata, kluster baharu itu melibatkan tiga daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi dan Tangkak, punca jangkitan masih dalam siasatan.

Katanya, pihaknya menjangkakan peningkatan kes dalam masa terdekat ini akan terus berlaku dengan aktiviti survelans yang terus dipertingkat selain menasihatkan masyarakat tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat.

"Jabatan Kesihatan Negeri Johor menyeru rakyat Johor agar sentiasa mematuhi dan mengamalkan normal baharu yang diperkenalkan iaitu penjarakkan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penjagaan kebersihan diri," katanya.