Kerajaan salur peruntukan tambahan tangani Covid-19 di Sabah

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memperuntukkan RM164,680,133 kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dari September hingga Oktober tahun ini bagi mempertingkatkan usaha membendung penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) di Sabah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM103,845,131 adalah peruntukan mengurus dan sudah digunakan untuk menyediakan keperluan seperti kelengkapan pelindungan diri (PPE) dan Consumables; Reagen serta aset mudah alih, termasuk penyumberluaran makanan dan ubat-ubatan.

“Baki sebanyak RM60,835,002 adalah daripada peruntukan pembangunan dan digunakan Jabatan Kesihatan Sabah untuk menambah baik fasiliti kesihatan seperti makmal dan bilik ICU (unit penjagaan rapi) di hospital dan juga perolehan kenderaan serta peralatan perubatan.

Kerajaan memberi komitmen tinggi dalam membantu menangani wabak Covid-19 di Sabah dengan menyalurkan segera peruntukan ini sangat penting demi melindungi keselamatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan kerjasama semua pihak selaras dengan pendekatan ‘The Whole of Government and Whole of Society Approach’.

“KKM amat yakin melalui pendekatan ini akan dapat memainkan peranan berkesan bagi terus menyekat penularan wabak ini secara bersepadu.

“Kerajaan dan seluruh warga KKM akan terus berusaha dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab untuk membendung wabak Covid-19 sehingga Sabah kembali menjadi zon hijau,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan kerajaan abai Sabah tidak berasas: Saifuddin

Artikel Berkaitan: