X

Kindly register in order to view this article
!

PKPB Zon Nilai: Hanya tiga orang boleh berjemaah di masjid, surau

Aminuddin Harun
A
A

SEREMBAN - Semua masjid dan surau yang berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Zon Nilai, dibenarkan mendirikan solat lima waktu berjemaah namun terhad kepada imam, bilal dan siak.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selain itu solat Jumaat juga dibenarkan dengan jumlah jemaah seramai 40 orang.

“Semua premis sosial dan pendidikan termasuk institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah pondok adalah ditutup. Selain itu, restoran dan kedai serbaneka 24 jam, kedai atau gerai makan dan kedai runcit serta aktiviti perniagaan lain dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam.

“Bagi operasi pasar harian, dibenarkan dari jam 6 pagi hingga jam 2 petang, pasar tani dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari manakala operasi pasar malam tidak dibenarkan dalam tempoh ini,” katanya dalam sidang media khas berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Putra Point Nilai dan PKPB Zon Nilai di sini, hari ini.

Sebanyak 35 lokaliti dan taman yang terlibat di dalam PKPB Zon Nilai.

Selain itu katanya, semua majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta turut ditangguhkan, sementara waktu dan bagi majlis sosial seperti majlis perkahwinan, pertunangan, aqiqah, kenduri doa selamat, tahlil serta sambutan ulang tahun kelahiran tidak dibenarkan.

Mengenai PKPD di kawasan Putra Nilai, Aminuddin berkata, semua aktiviti ekonomi, sosial, rekreasi dan budaya, adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh tersebut seperti yang terkandung di dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor sebagai berkata, PKPD akan dilaksana di Putra Point Nilai bermula 28 Oktober hingga 10 November, membabitkan dua lokaliti tempat tinggal pekerja (asrama) di kawasan itu, yang dikesan menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19 iaitu Jalan BBN 1/7B dan Jalan BBN 1/7F serta Jalan BBN 1/2E.

Bagi tempoh yang sama juga, Ismail Sabri berkata kerajaan turut bersetuju melaksanakan PKPB di Zon Nilai berikutan peningkatan kes positif Covid-19 warga asing di zon berkenaan.

Setakat semalam, Negeri Sembilan merekodkan 25 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,337 kes. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!