X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Malaysia catat 1,228 kes positif baharu

Dr Noor Hisham
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia catat lonjakan kes baharu koronavirus (Covid-19) tertinggi dalam tempoh 24 jam, melepasi angka tiga digit buat pertama kali dengan sebanyak 1,228 kes baharu direkodkan hari ini.

Daripada jumlah itu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Sabah kekal merekodkan jumlah kes tertinggi dengan sebanyak 889 kes atau 72.4 peratus daripada jumlah kes seluruh negara, jumlah tertinggi dicatat negeri berkenaan setakat ini.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan buat masa ini masih terdapat kapasiti katil di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk menampung jumlah kes positif di negeri berkenaan.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 25,742 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 8,966 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Selain Sabah, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 95 kes dicatatkan di Lembah Klang dengan 29 kes daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu.

Katanya, sebanyak 502 kes lagi melibatkan tahanan dari Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Penjara Reman dan Kluster Tembok yang kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara.

Dua kes yang dicatatkan hari ini juga menurut beliau, merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke negeri itu sejak 20 September lepas sebanyak 468 kes.

Dari keseluruhan kes, Dr Noor Hisham berkata, 11 daripadanya adalah kes import yang direkodkan di Kuala Lumpur, melibatkan tiga warganegara dan lapan bukan warganegara dengan tiga kes direkodkan daripada mereka yang tiba dari Singapura, Indonesia (tiga), China (dua), Korea Selatan (dua) dan Tunisia (satu).

Selebihnya, menurut Dr Noor Hisham adalah kes penularan Covid-19 dalam negara dengan Sabah sebanyak 889 kes, Negeri Sembilan (96), Selangor (76), Kedah (76), Pulau Pinang (23), Wilayah Persekutuan Labuan (21), Perak (10), Sarawak (lapan), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (lapan), Johor (tujuh) dan Melaka (tiga).

Mengenai kes pulih pula, terdapat sebanyak 671 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 16,555 kes iaitu 64.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

”Sehingga kini, terdapat 92 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tujuh kes kematian berkaitan Covid-19, justeru jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 221 kes,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!