X

Kindly register in order to view this article
!

'Arahan bekerja dari rumah gagal, mengelirukan'

M Kulasegaran
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran menyifatkan arahan bekerja dari rumah yang ditetapkan kerajaan bermula hari ini sebagai mengelirukan serta gagal.

Beliau berkata, arahan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam dilihat bercanggah sehingga menyebabkan ramai pekerja keliru untuk mengikut arahan siapa.

"Kenapa kedua-dua menteri ini tidak bekerjasama untuk menyiapkan SOP yang lengkap serta jelas bagi memudahkan para pekerja termasuk sektor perniagaan.

"Saya juga mahu MITI memberi penjelasan kenapa 90 peratus pekerja di bahagian pengurusan bekerja dari rumah sedangkan 100 peratus pekerja bahagian operasi perlu bekerja di pejabat. Keputusan ini dilihat berat sebelah, adakah nyawa pekerja bahagian operasi kurang bernilai daripada yang bekerja di bahagian pengurusan?," katanya dalam satu kenyataan akhbar di Twitternya hari ini.

Tambahnya, arahan bagi mereka yang bekerja di pejabat untuk bekerja selama empat jam tiga hari seminggu juga dilihat tidak masuk akal.

Selain itu, Kulasegaran berkata, ramai pekerja yang mengadu serta tidak pasti sama ada perlu menjalankan ujian swab sebelum pergi bekerja atau tidak, ekoran Ismail Sabri membatalkan pengumuman terdahulu bahawa semua pihak yang ingin terus bekerja dari pejabat di zon merah diwajibkan menjalani ujian Covid-19.

Katanya, keadaan lebih mengelirukan, apabila orang ramai masih menerima pesanan ringkas dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengarahkan pekerja dari zon merah untuk menjalankan ujian swab.

"Saya menggesa kerajaan untuk kembali ke meja rundingan dan menetapkan hanya seorang menteri untuk mengendalikan pengumuman berkaitan SOP supaya ia lebih mudah difahami serta diikuti.

"Selain itu, saya mencadangkan kerajaan untuk mengadakan pertemuan secepat mungkin dengan wakil kesatuan, majikan, pekerja termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan pandangan sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!