X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat kecewa Khairuddin tidak didakwa: Mohd Puad

Tangkap layar kenyataan di Facebook Mohd Puad.
A
A

SHAH ALAM - Seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO berpandangan bahawa rakyat pasti kecewa apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali tidak didakwa.

Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, rakyat kecewa apabila Ahli Parlimen Kuala Nerus itu tidak didakwa kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) koronavirus (Covid-19) yang ditetapkan kerajaan.

"Ada dua alasan kenapa keputusan itu dipersoalkan. Pertama kenapa terlalu lama untuk disiasat dan diputuskan. Pihak berkuasa macam bermain masa untuk mencari alasan.

"Kedua, kerajaan dilihat tidak tegas. Pegawai KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang kononnya tidak memberi borang 14B kepada Khairuddin dijadikan 'kambing hitam'," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, rakyat biasa yang balik dari Sabah sebelum tarikh 27 September mengambil tanggungjawab dan inisiatif sendiri melakukan kuarantin di rumah selama 14 hari.

Malah katanya, ada yang mengeluarkan belanja sendiri untuk melakukan ujian swab Covid-19 sehingga ada yang melakukannya sampai dua kali.

"Maka daripada segi moral sepatutnya sebagai menteri, Khairuddin lebih mengetahui tanggungjawab beliau untuk melakukan 'kuarantin kendiri', takkan itu tidak boleh fikir?

"Kini kerajaan dituduh melakukan 'ketegasan selektif' dan menambah kemarahan rakyat," katanya.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara menjelaskan bahawa setelah siasatan, didapati bahawa Mohd Khairuddin telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur setelah kembali dari luar negara.

Keputusan ujian bagaimanapun mendapati Mohd Khairuddin negatif Covid-19 dan diizinkan untuk pulang ke rumah,namun dia tidak dikeluarkan Borang 14B serta tidak diperintahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah sesuai dengan Seksyen 15 (1) Akta 342.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!