Jangan sorok anak OKU

Zainor (dua kiri) melihat pelajar sijil khas Kolej Komuniti Gerik melakukan kerja-kerja ukiran.
Zainor (dua kiri) melihat pelajar sijil khas Kolej Komuniti Gerik melakukan kerja-kerja ukiran.
A
A
A

GERIK - Ibu bapa yang mempunyai anak golongan orang kelainan upaya (OKU) disaran agar memberikan pendidikan sewajarnya kepada anak-anak mereka tanpa menyembunyikan bakat golongan berkenaan.

Pengerusi Zon Utara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Zairon Mustapha berkata, setiap ibu bapa berperanan mengenali potensi anak mereka lebih-lebih lagi golongan OKU bagi memastikan mereka dapat menikmati kehidupan seperti golongan normal yang lain.

"Ibu bapa jangan malu dan berasa rendah diri untuk nyatakan mereka mempunyai anak OKU kerana kadang-kadang golongan ini lebih hebat daripada kita golongan biasa.

"Kemungkinan juga anak ini lebih hebat anugerah dia dari tuhan tapi kita tidak pernah mencuba untuk mencungkil bakat mereka kerana tidak tahu di mana tempat sepatutnya mereka dihantar lebih-lebih lagi selepas tamat persekolahan," katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Hari Terbuka Program Sijil Khas ‘Extend Your Potential’ dan Kolaborasi Strategik Negeri Perak 2019 di Kolej Komuniti Gerik, di sini, semalam.

Menurut Zairon, tidak ramai ibu bapa tahu bahawa Kolej Komuniti ada menawarkan sijil khas bagi golongan OKU di bawah kategori masalah pembelajaran untuk mengikuti kursus sijil kemahiran dengan tempoh pengajian selama dua tahun.

"Di kolej komuniti kita mempunyai pelbagai peranan bukan sahaja kepada pelajar normal malah juga kepada pelajar pendidikan khas dalam membantu mereka menonjolkan potensi masing-masing supaya dapat berada bersama dalam masyarakat.

"Ini kerana pelajar OKU ini mempunyai kemahiran tetapi tidak banyak diberi peluang dan sekarang kerajaan melalui kolej komuniti menjadikan institusi pengajian ini sebagai antara tempat utama mengasah bakat terpendam dari golongan ini," katanya.

Zairon turut mencadangkan agar syarikat berhampiran kolej komuniti memberi kerjasama dengan menyediakan peluang kepada pelajar sijil khas untuk mengikuti latihan industri di syarikat mereka.

Artikel Berkaitan: