Antara masalah sosial remaja dan ibu bapa bekerja

Perbuatan menonton video atau gambar lucah adalah salah di sisi agama dan boleh mengakibatkan ketagihan sehingga mendorong kepada risiko melakukan seks bebas, masalah sosial dan penyakit. - Gambar hiasan
Perbuatan menonton video atau gambar lucah adalah salah di sisi agama dan boleh mengakibatkan ketagihan sehingga mendorong kepada risiko melakukan seks bebas, masalah sosial dan penyakit. - Gambar hiasan
A
A
A

PADA masa kini, isu pornografi dalam kalangan remaja dianggap suatu perkara biasa, seolah-olah hiburan ketika mengisi masa lapang. Ada juga yang menganggap ia merupakan hak privasi seseorang individu.

Namun, pendedahan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Rabu membuktikan masalah berkenaan tidak sepatutnya dipandang ringan.

Berdasarkan kajian universiti berkenaan pada tahun 2021, seramai 75 peratus remaja di Malaysia terutama lelaki pernah menonton video atau gambar lucah.

Pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan UKM, Profesor Madya Dr Noor Azimah Muhammad mendedahkan, kebanyakan remaja lelaki terjebak dengan perbuatan tersebut semasa menuntut di sekolah menengah apabila menggunakan internet secara bersendirian di rumah.

Secara tidak langsung, kajian tersebut berkait dengan data tahun 2020 yang menyaksikan Malaysia berada pada kedudukan keempat tertinggi di dunia dalam statistik pelayaran trafik laman web lucah.

Sejak 2016 hingga Disember 2021, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah menyekat sebanyak 6,661 laman web lucah.

Perbuatan menonton video atau gambar lucah adalah salah di sisi agama dan boleh mengakibatkan ketagihan sehingga mendorong kepada risiko melakukan seks bebas, masalah sosial dan penyakit.

Kesannya juga akan menyebabkan gangguan mental sehingga membawa kemudaratan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Mahu salahkan internet, rasanya tidak boleh. Dalam zaman teknologi tanpa sempadan dan semua bolah maklumat boleh diperoleh di hujung jari, mustahil untuk menghalang sepenuhnya penggunaan internet.

Cuma, apa yang menarik dalam kenyataan Dr Noor Azimah itu, salah satu puncanya ialah kerana tiada pemantauan daripada ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja dan tiada di rumah.

Namun, mengambil kira situasi ekonomi yang semakin mencabar dan kos semakin meningkat ketika ini, bukan satu kesalahan apabila kaum ibu terpaksa keluar bekerja untuk membantu suami menampung pendapatan isi rumah keluarga.

Pun begitu, ibu bapa sebenarnya boleh menangani isu pornografi ini dengan memberi didikan agama secukupnya untuk anak masing-masing.

Dari situ, anak-anak akan terbuka minda dapat menilai perbuatan baik dan buruk, sekali gus menghidarkan diri daripada melakukan perkara yang tidak bermoral tersebut.