Beri pendedahan istiadat Raja

Warga SK Galing bergambar kenangan di hadapan Pangkalan Udara TUDM
Warga SK Galing bergambar kenangan di hadapan Pangkalan Udara TUDM
A
A
A

KUANTAN - Rombongan sekolah ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini bertujuan memberi pendedahan mengenai istiadat sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini, kepada para pelajar.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tanjung Lumpur, Roshayati Hashim berkata, di samping itu, para pelajar juga boleh turut bersama memuliakan keberangkatan Yang Dipertuan Agong Ke 17, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, ke Istana Negara Kuala Lumpur.

"Rombongan ini juga dapat memperkenalkan kepada murid-murid mengenai istiadat kesultanan Pahang sekali gus menyemai semangat patriotik di peringkat awal.

"Lawatan ini dijalankan di bawah panitia Sejarah. Di sekolah ada sudut pidato atau speaker corner, mereka akan bercerita pengalaman mereka hari ini sebagai perkongsian dengan rakan-rakan lain di sudut tersebut," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pangkalam Udara TUDM di sini, hari ini.

Seramai 39 murid tahun enam termasuk enam guru menyertai rombongan tersebut.

Sebahagian peserta rombongan warga SK Tanjung Lumpur
Sebahagian peserta rombongan warga SK Tanjung Lumpur

Bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Galing, Mohamad Rofa'i Mokhtar, berkata, ini adalah peristiwa bersejarah di mana para pelajar dapat menyaksikan sendiri dengan lebih dekat istiadat keberangkatan Tuanku ke Istana Negara Kuala Lumpur.

Menurutnya, murid-murid didedahkan dengan proses dan sistem Raja di negara ini, di mana Al Sultan Abdullah yang merupakan Sultan Pahang, kini menaiki takhta sebagai Ketua Negara, iaitu Yang Dipertuan Agong dan akan berkhidmat selama tempoh lima tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah seramai 40 peserta rombongan terdiri kalangan guru-guru, anak murid termasuk Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan Ketua Kampung, encik Razali Omar turut serta ke Pangkalan Udara TUDM pada hari ini.

"Tujuan kita adalah untuk beri peluang kepada anak murid melihat sendiri upacara bersejarah keberangkatan Yang Dipertuan Agong, secara langsung. Harapan kami agar mereka akan berkongsi dengan rakan rakan dan pengalaman boleh digunakan dalam pembelajaran di kelas nanti," katanya.

Hadir sama, jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Zaini Mohamad.

Sementara itu bagi, Razali, program tersebut dapat menjalin kerjasama erat antara guru-guru sekolah, murid dan ibu bapa serta MPKK.