KRPPM-IGAR beri pendedahan berterusan kepada ahli Parlimen

Mas Ermieyati ketika sidang media bersama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) yang berlangsung di Auditorium Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
Mas Ermieyati ketika sidang media bersama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) yang berlangsung di Auditorium Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) memainkan peranan dalam usaha memberi pendedahan berterusan kepada akar umbi khususnya ahli-ahli Parlimen di negara ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia berikutan sokongan ahli-ahli Parlimen bersama libat urus pihak pemegang taruh lain itu penting dalam memastikan iltizam dan strategi KRPPM-IGAR dapat dicapai.

"Dengan tertubuhnya KRPPM-IGAR ini, ia adalah satu kejayaan. Kita tidak boleh nak membuat satu perubahan secara total, itu mustahil tetapi dari masa ke semasa, dengan memberi kefahaman, bukan sahaja kepada akar umbi, tetapi paling penting adalah ahli Parlimen.

"Sebab ahli Parlimen yang nak bawakan suara dan dokumentasi di Parlimen dan usaha itu harus dilakukan oleh kumpulan ini bersama contohnya dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan juga kementerian terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab sidang media Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Penubuhan KRPPM-IGAR telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada pada 3 April lalu, bertujuan untuk menggubal, menambah baik dan memperkasa polisi serta dasar berkaitan anti rasuah dan tadbir urus negara untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan menyekat penyalahgunaan kuasa melalui gabungan kolektif ahli-ahli parlimen, senator, masyarakat sivil dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan.

Ujar beliau, pengagihan untuk setiap reformasi dalam kumpulan rentas parti itu juga wajar dipuji.

"Macam saya di bawah (cadangan) Reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jadi langkah pertama adalah saya merujuk dan memberi maklumat kepada Tan Sri Azam Baki.

"Keduanya, sentiasa kita adakan sesi perbincangan dalam kumpulan 'way forward' untuk apa yang perlu kita lakukan selepas ini.

"Jadi saya yakin dan percaya dengan kesungguhan, iltizam dan strategi, kita nak pastikan ianya dapat dilaksanakan," jelasnya.

Tiga cadangan reformasi institusi dan perundangan turut dikemukakan iaitu Pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwaraya, Reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.