Felo Perdana beri pendedahan budaya kerja, dasar kerajaan - PM

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program Felo Perdana merupakan satu rencana untuk memberi pendedahan kepada anak muda bukan sahaja mengenali sosok pimpinan tetapi memahami budaya kerja, tradisi dan budaya dalam kerajaan.

"Pendedahan ini memberi ruang (peserta felo) memahami dasar dan menimba pengalaman dan dasar kerajaan," katanya pada majlis penyerahan Felo Perdana di sini hari ini.

Diselaraskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), seramai 56 orang felo dipilih dan akan memulakan tugas bermula hari ini sehingga 31 Disember.

Anwar berkata, felo yang dipilih adalah berdasarkan prestasi cemerlang sebagai persiapan untuk pimpinan masa hadapan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KBS mengenai Felo Perdana itu, kesemua 56 peserta felo yang terpilih telah melalui sesi orientasi bermula pada 20 hingga 22 Ogos lepas di Institut Semarak Felda, Bangi.

"Peserta felo yang dipilih perlu melalui proses pemilihan yang teliti dan mengikuti sesi orientasi yang telah ditetapkan bagi tujuan pendedahan terutamanya melibatkan tatacara dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh seorang pegawai yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam," menurut kenyataan KBS.

Felo Perdana merupakan program berbentuk pementoran dan internship dengan matlamat melahirkan golongan belia yang dinamik, berdaya saing, mempunyai pengetahuan yang relevan berkaitan sistem pentadbiran negara.

Peserta felo yang terpilih akan mendapat bimbingan dan menimba pengalaman berkhidmat secara terus daripada ahli Jemaah Menteri dengan nisbah dua orang bagi setiap menteri dan seorang bagi Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Artikel Berkaitan:

Felo akan menerima elaun bulanan sebanyak RM2,000 seorang bagi graduan lepasan universiti dan RM1,000 seorang bagi siswa yang masih menuntut di universiti.

Sejak diperkenalkan pada 2013, seramai 763 felo telah terpilih untuk menyertai program berkenaan.

Majlis penyerahan felo itu turut dihadiri dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; ahli Jemaah Menteri termasuk Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. - Bernama