Lori simen debu dikesan bawa muatan berlebihan 10.4 tan

Sebuah kenderaan perdagangan dikesan membawa muatan berlebihan sebanyak 10.4 tan dalam pemeriksaan sempena Ops Patuh Deepavali pada Isnin. Foto JPJ Pahang
Sebuah kenderaan perdagangan dikesan membawa muatan berlebihan sebanyak 10.4 tan dalam pemeriksaan sempena Ops Patuh Deepavali pada Isnin. Foto JPJ Pahang
A
A
A

KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengesan sebuah kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan sebanyak 10,400 kilogram (kg) dalam pemeriksaan sempena Ops Patuh Deepavali pada Isnin.

Kenderaan yang membawa muatan simen debu itu mencatatkan berat keseluruhan sebanyak 58,400kg, melebihi had Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan iaitu 48,000kg.

JPJ Pahang menerusi kenyataan memaklumkan, lebihan muatan berkenaan bersamaan 21.67 peratus daripada had yang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, kenderaan berkenaan diarahkan menjalani proses penimbangan di Stesen Penguatkuasa Jemaluang untuk tindakan lanjut.

"JPJ Pahang menegaskan bahawa muatan berlebihan bukan sahaja memberi tekanan tambahan terhadap komponen mekanikal kenderaan, malah boleh menjejaskan kestabilan dan meningkatkan jarak membrek.

"Selain itu, keadaan berkenaan turut mempercepatkan kerosakan infrastruktur jalan raya serta mengundang risiko serius kepada pengguna jalan raya lain," katanya dalam satu hantaran di Facebook milik jabatan tersebut malam Isnin.

Sehubungan itu, JPJ Pahang mengingatkan semua pengusaha dan pengendali kenderaan perdagangan supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan dalam usaha mengejar kecekapan operasi dan keuntungan.

Jelasnya kenyataan berkenaan, pematuhan terhadap had muatan merupakan tanggungjawab yang wajib diberi keutamaan bagi memastikan keselamatan setiap perjalanan.

JPJ Pahang turut komited memperhebat aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan, khususnya yang berisiko mengancam keselamatan awam, selaras usaha membudayakan pematuhan undang-undang jalan raya secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!