'Tidak pernah terlintas rumah sendiri terbakar'– Mustaffar Kamal

KUANTAN – Tidak pernah terlintas kediaman sendiri yang menjadi tempat berteduh keluarga akan ditimpa musibah kebakaran, kata Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid.
Kejadian kebakaran berkenaan membabitkan dua rumah teres dua tingkat di Taman Seri Kuantan, di sini pada malam Selasa.
“Tidak pernah terlintas rumah sendiri akan ditimpa musibah kebakaran seperti ini.
“Melihat sendiri kediaman yang menjadi tempat berteduh keluarga berhadapan dengan api, pastinya meninggalkan kesan dan kenangan yang sukar dilupakan,” katanya.
Menurutnya, setiap yang berlaku mempunyai hikmah dan ketentuan ALLAH SWT itu perlu diterima dengan reda.
“Alhamdulillah, masih diberikan keselamatan dan kekuatan untuk menghadapi dugaan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Dalam hantaran sama, Mustaffar Kamal turut merakamkan penghargaan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atas tindakan pantas serta pengorbanan mereka memadamkan kebakaran.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan semua pihak yang menghulurkan bantuan serta memberikan kata-kata semangat.
"Rumah mungkin diuji dengan api, tetapi semangat untuk bangkit tidak akan padam.
"Ya ALLAH, gantikanlah apa yang telah hilang dengan sesuatu yang lebih baik," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.26 malam.
Menurutnya, seramai 36 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dibantu BBP Indera Mahkota dan BBP Gebeng menjalankan operasi pemadaman.
"Kebakaran dua rumah itu tidak membabitkan mangsa dan setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

