X

Kindly register in order to view this article
!

Kluster Penjara Jawi: Pertambahan kes tidak libatkan petugas

Ujian saringan pertama ke atas semua banduan dan petugas Penjara Seberang Perai selesai.
A
A

GEORGETOWN - Pertambahan 14 kes positif wabak koronavirus (Covid-19) yang dilaporkan di Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal hanya melibatkan banduan.

Pengarah Penjara Seberang Perai, Zulkifli Abdul Manah berkata, sehingga semalam, tiada lagi kes melibatkan pegawai penjara selepas dua pegawai disahkan positif sebelum ini.

Menurutnya, ujian saringan pertama untuk semua petugas dan banduan di penjara tersebut sudah selesai.

"Semua banduan yang disahkan positif telah diasingkan ke blok di penjara yang dijadikan wad sementara. Mereka dipantau rapi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Keadaan mereka kini stabil.

"Sehingga semalam, tiada lagi kes melibatkan pegawai penjara. Hanya dua pegawai disahkan positif setakat ini dan mereka sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP). Mereka juga stabil," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Sehingga semalam, Kluster Penjara Jawi mencatatkan 14 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 adalah 86 kes.

Sebelum ini, dua pegawai penjara disahkan positif itu merupakan warden bertugas di blok baru yang menempatkan banduan yang disahkan positif sebelum ini.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, ujian saringan kedua untuk petugas penjara sedang dijalankan dan dijangka selesai minggu ini.

"Ujian saringan untuk banduan baru semua sudah selesai. Selain itu, ujian pertama untuk petugas juga sudah selesai dan mereka sedang menjalani ujian saringan kedua.

"90 peratus sudah selesai dan kita jangka selesai kesemuanya dalam minggu ini. Selepas ini, kita juga akan menjalankan ujian saringan ke atas banduan lama yang tinggal di blok berbeza. Mereka ini mempunyai risiko amat rendah untuk jangkitan," katanya.

Mengulas mengenai barang keperluan seperti bekalan makanan, pelitup muka dan kelengkapan perlindungan diri (PPE), Zulkifli berkata, setakat ini kesemua bekalan tersebut mencukupi.

"Keperluan semua mencukupi, alhamdulillah. Terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang bantuan ini.

"Keadaan di penjara terkawal dan pihak penjara bersama KKM sedang bekerja keras menangani jangkitan wabak ini," katanya.

Pulau Pinang kini mempunyai dua kluster utama iaitu Penjara Reman dan Penjara Jawi, menjadikan kedua-dua penjara itu sebagai institusi hukuman ketiga dan keempat di negara ini yang mencatatkan jangkitan Covid-19 selepas Tawau di Sabah dan Alor Star di Kedah.

Kes aktif pertama dilaporkan di Penjara Reman Pulau Pinang susulan kematian seorang banduan berusia 85 tahun pada 5 Oktober lalu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!