Dasar Kebudayaan Kebangsaan masih relevan

Muhaimin Sulam
Muhaimin Sulam
A
A
A

IPOH - Amanah Perak menyifatkan kenyataan Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 lapuk dan ketinggalan zaman sebagai dangkal, sesat dan prejudis.

Naib Pengerusi Amanah Perak, Dr Muhaimin Sulam berkata, Adun dari PKR tersebut tidak sepatutnya berkata demikian kerana dasar berkenaan masih lagi relevan dan tidak lapuk.

“Amanah Perak memberi ingatan supaya sebarang perubahan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 tidak menggadaikan tiga prinsip yang menjadi asas utama dalam pembentukan dasar tersebut.

“Prinsip tersebut adalah budaya kebangsaan mesti berdasarkan budaya Melayu, unsur-unsur yang sesuai dari budaya lain boleh diterima sebagai sebahagian daripada budaya kebangsaan dan Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, dasar tersebut haruslah difahami latar belakang sejarah dan proses pembinaannya meskipun lebih empat dekad berlalu dan perubahan banyak berlaku, pembinaan negara bangsa Malaysia yang diimpikan masih jauh tercapai.

“Jangan kerana keghairahan menerajui kerajaan baru, segalanya hendak diubah, dipinda dan dibuang. Atau ura-ura mahu mengubah dasar kebudayaan ini hanya satu penjenamaan baru?

“Hentikan kerja sia-sia dan fokus kepada penyelesaian masalah utama rakyat sekarang,” katanya.

Menurut Muhaimin, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga harus faham bahawa soal kebudayaan bukan soal ruang lingkup portfolio kementerian sebaliknya berkenaan soal kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Artikel Berkaitan: