Syiling lima sen masih relevan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PENGGUNAAN wang fizikal termasuk duit syiling masih tinggi ketika ini meskipun Malaysia sedang giat mempertingkatkan penggunaan transaksi kewangan secara digital kerana ia lebih mudah dan selamat.

Dalam perkembangan baharu, Bank Negara Malaysia (BNM) menjalin kerjasama dengan Bank Indonesia (BI) untuk pelaksanaan pembayaran kod respons pantas (QR) rentas sempadan.

Inisiatif tersebut membolehkan rakyat kedua-dua negara membuat pembayaran runcit dengan segera tanpa perlu pertukaran wang fizikal, sebaliknya dilakukan menerusi imbasan kod QR.

Selain itu, sudah ramai penjaja kecil di seluruh negara telah mengaplikasikan penggunaan kod QR sebagai pilihan bayaran kepada pembeli pada ketika ini.

Namun terdapat sebilangan besar pembeli lebih gemar menggunakan wang fizikal.

Mungkin kerana bayaran tidak melibatkan jumlah besar melebihi ratusan ringgit, maka pembayaran konvensional dilihat lebih praktikal dan pantas.

Berkisar tentang penggunaan wang syiling terutamanya lima sen, mata wang paling kecil negara pada ketika ini sering kali kewujudannya dinafikan.

Dan berdasarkan pengalaman tersebut, kini berbangkit persoalan mengenai keupayaan kerajaan menampung kos pengeluaran duit syiling lima sen yang dikatakan tidak setimpal dengan nilai duit itu.

Bagaimanapun Menteri Kewangan pada 7 Jun lalu dalam jawapan lisan memberitahu Dewan Rakyat bahawa BNM sentiasa memantau kos pengeluaran duit syiling bagi semua denominasi untuk memastikan kos pengeluarannya kekal berada di bawah nilai muka.

Penilaian semasa BNM mendapati duit syiling lima sen masih berdaya maju untuk edaran dalam negara dan semua duit syiling dijangka boleh digunakan selama lebih kurang 25 tahun.

BNM turut menggesa orang ramai supaya mengguna semula duit syiling di dalam edaran, seterusnya mengurangkan keperluan untuk pengeluaran duit syiling baharu.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia setakat 30 April 2023, terdapat lima bilion keping duit syiling lima sen dalam edaran negara manakala satu sen sebanyak 4.3 bilion, 10 sen (9.4 bilion), 20 sen (6.3 bilion) dan 50 sen (3 bilion).

Jadi duit syiling lima sen masih kekal relevan dan jangan dibiarkan duit syiling itu dipinggirkan kerana jika dibuat tabung khas untuk simpanan syiling lima sen, ia mampu menjadi penyelamat di waktu kecemasan.