Adly nafi pembelian kenderaan Ketua Menteri

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari menafikan dakwaan netizen di Facebook bahawa pembelian kereta Ketua Menteri baharu dibuat ketika beliau memegang jawatan itu.

Bekas Ketua Menteri itu juga menyifatkan perkara itu fitnah kerana ketika itu beliau tiada sebarang keperluan untuk membeli kenderaan baharu dan hanya menggunakan empat buah kenderaan yang digunakan daripada kerajaan sebelumnya.

Menurutnya, dalam keadaan pandemik koronavirus (Covid-19) sewajarnya kerajaan negeri kini lebih mengutamakan rakyat dan mengamalkan sikap berjimat cermat selain membantu mereka yang kehilangan pekerjaan dan gagal melunaskan hutang selain kedan pendidikan kepada anak-anak.

"Belilah apa sahaja kenderaan yang mahu dibeli, tetapi harus mengambil kira kemampuan semasa kewangan kerajaan di samping keutamaan kepada rakyat.

"Saya tidak berminat membesarkan isu yang kecil, untuk tidak dipanjangkan fitnah itu namun sebagai peringatan kepada anak-anak muda yang baru belajar berbohong," katanya yang memuat naik kenyataan di akaun Facebook miliknya hari ini.

Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil berkata, lebih penting ketika ini memberikan tumpuan membantu rakyat.

Menurutnya, berdasarkan rekod sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, pendapatan kerajaan negeri dilihat merosot dan dianggarkan kerajaan negeri mampu mencapai 55 peratus sahaja pendapatan daripada yang dibajetkan sehingga September lalu.

"Utamakan rakyat, kalau boleh berjimat, berjimatlah dan membantu rakyat, anak-anak yang menangis kelaparan dan jiran-jiran yang tertanggung hutang yang tidak dapat melunaskan hutang mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular di Facebook gambar sebuah kereta mewah iaitu Lexus ES250 dengan nombor pendaftaran M1 yang dikatakan kenderaan rasmi Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan pertukaran kenderaan baharu itu turut melibatkan kereta pegawai kanan.

Pada 9 Mac lalu, Sulaiman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-12 setelah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang sebaik Bersatu keluar daripada gabungan itu.