Presiden Kyrgyzstan letak jawatan
BISHKEK - Presiden Kyrgyzstan, Sooronbay Jeenbekov meletak jawatan hari ini kerana beliau mahu menamatkan krisis yang tercetus sejak pertikaian keputusan Pilihan Raya Parlimen pada awal bulan lalu.
“Saya tidak mahu terlalu berpaut pada kuasa. Saya tidak mahu tercatat dalam sejarah negara ini sebagai presiden yang membiarkan pertumpahan darah dan membunuh rakyatnya.
“Oleh itu, saya membuat keputusan untuk berundur,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan pejabat presiden.
Pengumuman itu menjadikan Jeenbekov sebagai presiden ketiga di negara kecil Asia Tengah itu yang digulingkan oleh revolusi kebangkitan rakyat sejak 2005.
Semalam, Jeenbekov juga akur dengan keputusan Parlimen melantik Sadyr Japarov yang berdepan tuduhan penculikan dan dibebaskan dari penjara oleh penyokongnya pada minggu lalu sebagai Perdana Menteri baharu negara itu.
Selepas pemilihan kontroversi itu berlangsung, penyokong parti pembangkang bertindak melancarkan protes jalanan hingga memaksa pihak berkuasa membatalkan keputusan pilihan raya tersebut. - AFP