X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Industri perhotelan di Melaka catat penurunan

Industri perhotelan Melaka sedikit terkesan berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 yang dilaporkan di negara ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Industri perhotelan di Melaka mencatatkan sedikit penurunan tempahan berikutan kenaikan mendadak kes positif koronavirus (Covid-19) beberapa hari lalu.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha) Sektor Melaka, Sazali Sabri berkata, dianggarkan 30 hingga 40 peratus tempahan hotel yang dibuat menerusi dalam talian dalam minggu ini dibatalkan oleh pelancong domestik.

Menurutnya, pembatalan itu diterima pengusaha hotel-hotel bajet di negeri ini sejak negara merekodkan kenaikan kes positif Covid-19 mencecah 400 kes.

"Sejak kes positif Covid-19 meningkat sehingga 400 kes, ramai pelancong domestik membatalkan tempahan pada hujung minggu ini.

"Ini termasuk tempahan dalam talian yang dibuat menerusi agensi pelancongan perhotelan seperti Booking.com, Agoda dan Expedia kemungkinan mereka bimbang atau risau," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

"Mengulas lanjut Sazali berkata, sejak kerajaan membenarkan rentas negeri pada Jun lalu, sektor hotel bajet negeri ini menerima tempahan yang luar biasa terutama pelancong dari Selangor, Johor serta Wilayah Persekutuan dan sepatutnya penuh sehingga hujung bulan ini.

"Mungkin mereka bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 dan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perancangan melancong ke Melaka," katanya.

Sinar Harian kelmarin, menyiarkan Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Muhammad Jailani Khamis menasihatkan pelancong domestik agar tidak bimbang untuk datang ke Melaka dan kerajaan negeri memberi jaminan aspek keselamatan dan kebersihan termasuk sentiasa menjalankan proses sanitasi di kawasan-kawasan tumpuan pelancong.

Dalam perkembangan lain, Sazali berkata, sektor hotel bajet negeri ini masih bergelut untuk mengambil semula pekerja-pekerja yang sebelum ini diberhentikan sementara berikutan mengalami aliran kewangan yang terkesan akibat pandemik itu.

Menurutnya, apa yang diharapkan tempoh moratorium dapat dilanjutkan kerana rata-rata pekerja dalam bidang perhotelan masih mengalami kesulitan untuk menyambung semula pembayaran dengan institusi perbankan.

"Kita berterima kasih dengan bantuan yang kerajaan berikan kepada sektor ini menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Program Subsidi Upah (PSU) yang dilanjutkan sehingga Disember bagaimanapun berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh moratorium,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!