Hasrat Anwar jadi PM boleh cetus PRU15 lebih awal

Anwar mendakwa telah mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.
Anwar mendakwa telah mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri dalam masa terdekat boleh mencetuskan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal.

Pakar perlembagaan yang merupakan Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, nasib Anwar bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong sama ada untuk menerima atau menolak nasihat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selaku Perdana Menteri, Muhyiddin boleh terus meletakkan jawatan atau meminta Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan terpulang untuk baginda sama ada untuk menerima atau menolak permintaan itu.

“Jika permohonan ditolak, maka Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan dan kalau berlaku yang sebaliknya maka berlakulah PRU15,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semalam, Anwar mendakwa telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober ini.

Dipercayai, tujuan ketua pembangkang itu mahu menghadap Seri Paduka Baginda kerana beliau dikatakan sudah mempunyai sokongan yang kuat untuk membentuk satu gabungan bagi menubuhkan kerajaan baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar menghadap Agong Selasa ini

Tambah Muhammad Fathi, Anwar juga akan berdepan dengan beberapa cabaran lain meskipun beliau berjaya membuktikan Muhyiddin hilang majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat kemungkinan Anwar mempunyai sokongan untuk menjatuhkan Muhyiddin tetapi tidak mempunyai sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

“Tidak mustahil mereka yang menyatakan sokongan kepada Anwar berbuat demikian semata-mata untuk memastikan berlaku PRU lebih awal.

“Berdasarkan beberapa kenyataan umum, kelihatan tokoh-tokoh dari UMNO sangat mengharapkan agar PRU diadakan segera.” katanya.

Katanya, besar kemungkinan UMNO hanya menggunakan Anwar sebagai alat untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandangkan kebanyakan pemimpin mereka dilihat yakin untuk menghadapi PRU dan mengambil kembali kuasa yang hilang dalam PRU lepas.

Selain itu, Muhammad Fathi turut berpendapat rundingan untuk membentuk kerajaan baharu juga kemungkinan besar gagal akibat daripada perbezaan ideologi parti yang terdapat dalam kerajaan yang menggantikan PN.

“Walaupun wujud kemungkinan elemen-elemen tertentu dalam UMNO benar-benar ingin menyokong Anwar menubuhkan kerajaan baharu, hal berkenaan bukan satu jaminan yang kukuh.

“Konflik akan mula wujud khususnya antara elemen UMNO dan DAP yang pada zahirnya amat sukar untuk bergabung.

“Keadaan yang demikian jika tidak dapat dirungkaikan akan membawa kepada PRU15 dalam tempoh terdekat ini,” katanya.