Tiga kluster baharu dikesan di Kedah, Terengganu

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Sekurang-kurangnya tiga lagi kes kluster baharu dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kedah dan Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, kluster berkenaan adalah Bah Sintok dan Jeram di Kedah, manakala Bah Tanjung di Terengganu.

Mengulas lanjut mengenai Kluster Bah Sintok, beliau berkata, ia dikenal pasti di Kubang Pasu.

"Kes indeks kluster iaitu kes ke-12,072 adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 23 tahun yang baru pulang dari Sabah pada 20 September lalu," katanya.

Menurutnya, pesakit mempunyai gejala demam, selesema dan sakit kepala sejak 22 September.

"Saringan Covid-19 dikesan positif pada 2 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah," katanya.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan mendapati 11 lagi dikesan positif.

"Sehingga hari ini, sejumlah 165 individu telah disaring di mana 12 disahkan positif, 61 negatif dan 92 masih menunggu keputusan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jeram juga dikenalpasti di Kubang Pasu, Kedah melibatkan wanita berumur 31 tahun.

"Kes bergejala batuk dan sakit kepala sejak 25 September dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tunjang pada 28 September.

"Keputusan saringan Covid-19 sehari selepas itu disahkan positif," katanya.

Menurutnya, saringan kontak rapat telah dijalankan mendapati tiga lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti.

"Ketiga-tiga kes positif ini melibatkan petugas kesihatan," katanya.

Setakat ini, sejumlah 65 individu telah disaring.

"Empat dikesan positif, 50 adalah negatif dan 11 yang lain masih menunggu keputusan," katanya.

Sementara itu, Kluster Bah Tanjung dikesan di Kuala Nerus, Terengganu selepas kes indeks berusia 46 yang mempunyai sejarah perjalanan dari Semporna, Sabah selama 17 hari dari 10 September lalu.

"Kes bergejala sakit tekak dan demam sejak 28 September lalu dan dikesan positif dua hari selepas itu serta dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu," katanya.

Beliau berkata lagi, saringan kontak rapat mendapati enam lagi positif Covid-19.

"Setakat ini, seramai 245 individu telah disaring dan tujuh adalah positif," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 432 kes positif Covid-19 hari ini

Zulkifli sah positif Covid-19