KKM sahkan seorang individu hadiri mesyuarat JPM positif Covid-19

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seorang individu yang menghadiri satu mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 3 Oktober lalu didapati positif jangkitan koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatannya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, individu itu bagaimanapun telah dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian dan rawatan mengikut protokol sedia ada bagi kes disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata, pengesanan dan siasatan kontak kepada individu sedang dijalankan, termasuk saringan gejala dan pengambilan swab bagi pengesanan jangkitan Covid-19.

"Kontak rapat yang dikenal pasti telah diberikan Surat Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan (kontak).

"Sehubungan itu semua yang hadir ke mesyuarat tersebut telah menjalani saringan kesihatan hari ini serta sampel juga diambil untuk ujian pengesanan jangkitan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Tambahnya, mereka yang dikenal pasti kontak rapat semasa mesyuarat telah diberikan HSO selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober lalu dan dipakaikan gelang pengawasan, sementara ahli mesyuarat yang lain pula yang bukan merupakan kontak rapat dikehendaki memantau status kesihatan kendiri (self-health monitoring) di rumah setiap hari selama 14 hari dengan menggunakan 'home assessment tool' dalam aplikasi MySejahtera.

Katanya, mereka juga dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala semasa dalam tempoh pemantauan tersebut.

"KKM ingin memohon orang ramai agar tidak khuatir dengan kejadian ini dan tidak membuat sebarang spekulasi. Orang ramai akan dimaklumkan mengenai status jangkitan Covid-19 di Malaysia dari semasa ke semasa secara kenyataan media rasmi KKM.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat lanjut boleh diperolehi dari laman sesawang KKM: http://covid-19.moh.gov.my," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Zulkifli sah positif Covid-19