Tragedi Iboi: Tuntutan penduduk bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Projek-projek yang dituntut penduduk Kampung Iboi di Kupang, Baling yang terjejas akibat banjir lumpur dan kepala air pada 4 Julai tahun lalu adalah bawah tanggungjawab Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tuntutan yang dikemukakan ketika majlis memperingati genap setahun ‘Derita Rakyat Iboi' itu bukan bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menurutnya, kesemua 23 projek yang diluluskan sebelum ini yang didakwa belum dilaksanakan merupakan bawah projek ICU.

“Jadi projek berkenaan bukan bawah kerajaan negeri, pakat tuduh kerajaan negeri pasal apa? Saya pun hairan kerana yang umum Perdana Menteri ketika itu, bukan Menteri Besar,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, pada Rabu.

Pada Selasa, penduduk Kampung Iboi mendesak beberapa tuntutan disegerakan termasuk pembinaan semula infrastruktur di kawasan itu masih belum selesai sejak tragedi kepala air melanda setahun lalu.

Ketua Komuniti Kampung Iboi, Noor Mohamad Che Husain, 60, berkata, rakyat di kampung itu sangat menderita dan kehidupan belum sempurna seperti sebelum ini kerana banyak masalah timbul sehingga menjejaskan aktiviti harian.

Muhammad Sanusi memaklumkan, kerajaan negeri sudah selesai menunaikan janji membina 12 buah rumah baharu gantian kepada mangsa yang kehilangan rumah.

“Yang itu memang diuruskan kerajaan negeri, yang urusan lain bawah ICU, jangan salahkan kerajaan negeri pula. Ia berdasarkan bancian yang dibuat Pegawai Daerah selaku Pengerusi Keselamatan Daerah apabila berlakunya bencana,” tegasnya.

Dalam pada itu Muhammad Sanusi menempelak sikap bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang berterusan memainkan isu kerajaan negeri gagal menangani tragedi Iboi.

“Ketika itu beliau cakap semua hasil kerja dia (buat semua). Kerajaan negeri collapse. Tak tahu buat apa. Dia sahaja yang tau semua. Itu memang buatkan saya marah sebab tak boleh cakap macam itu.

“Dia dakwa semua urusan bantuan diambil alih oleh seorang ahli parlimen. Ini kerajaan bermaruah dan kami dibantu agensi dan pegawai, konon hanya dia seorang buat,” ujarnya.

Menurutnya lagi, dakwaan terdapat 2000 motosikal hanyut dibawa arus banjir lumpur juga tidak munasabah.

“Bila kita banci tak ada pun aduan, mana ada banyak tu hilang dalam sungai. Padahal beliau cakap di Parlimen (ada hansard) saya pun dengar. Kalau benarlah, semua motosikal tu sudah jadi tukun lah.

“Nasihat saya, nak kawan biar elok-elok, nak bergaduh senang saja. Semua benda-benda itu boleh menimbulkan pergaduhan,” katanya lagi.