Jakim pantau penjualan barangan khurafat

Mujahid (tengah) ketika menjawab soalan pemberita sebaik selesai majlis itu.
Mujahid (tengah) ketika menjawab soalan pemberita sebaik selesai majlis itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa memantau aktiviti penjualan barangan berunsur khurafat yang jelas menyeleweng daripada ajaran agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, meskipun perkara itu masih lagi terkawal, namun usaha mengekang perbuatan yang boleh merosakkan akidah itu perlu dilakukan secara berterusan.

Jelasnya lagi, secara dasarnya penguatkuasaan undang-undang berhubung aktiviti itu terletak di bawah kuasa negeri masing-masing.

“Kalau berlaku (penjualan barangan khurafat) di Kuala Lumpur ia di bawah kuasa kita (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan kita boleh mengambil tindakan.

“Tetapi kalau berlaku di negeri-negeri lain sebagai contoh Pulau Pinang ia tertakluk kepada undang-undang negeri berkenaan.

“Namun, di pihak Jakim kita sentiasa berkongsi maklumat dan pandangan supaya aktiviti tidak bermoral ini dapat dikekang,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik selesai Sesi Townhall bersama Penyelidik dan Media di Dewan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran ‘townhall’ itu, jelas Mujahid ia diadakan bagi memberi lebih penjelasan dan kefahaman mengenai dasar pentadbiran Islam di negara ini berhubung tiga teras utamanya iaitu Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, kerajaan juga mengambil pendekatan terbuka untuk mendengar pandangan semua pihak mengenai prinsip baharu yang diperkenalkan itu.

“Program sebegini juga sangat baik untuk menyalurkan maklumat dan kefahaman yang lebih tepat agar ia lebih difahami semua pihak,”katanya.