Juruterbang terlepas hukuman penjara, denda RM300,000

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seorang juruterbang terlepas daripada hukuman penjara dua tahun dan denda RM300,000 atas tuduhan menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan rayuannya terhadap sabitan serta hukuman hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Kapten Bir Singh, 61, pada 28 Ogos 2019 dan turut memerintahkannya untuk menjalani hukuman penjara setahun sekiranya dia gagal membayar denda.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid mengetepikan sabitan serta hukuman itu, kerana berpuas hati dengan hujahan daripada peguam yang mewakili Bir selaku perayu, iaitu Afifuddin Ahmad Hafifi, Datuk Salehuddin Saidin dan Siti Sarah Khalil.

Ketika hujahan, Afifuddin berkata, pihak pendakwaan gagal menunjukkan elemen faedah dikenakan malah jumlah pinjamannya turut diragui.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abd Hadi selaku responden berkata, pihaknya berjaya membuktikan kes prima facie terhadap juruterbang itu.
Artikel Berkaitan:


Ia katanya, menerusi keterangan saksi-saksi pendakwaan yang hadir, menyatakan pinjaman telah diberikan oleh tertuduh kepada pengadu, Peter Paul.

Bir didakwa menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen iaitu dengan memberi pinjaman wang berjumlah RM600,000 kepada Peter Paul, 63, di RHB Bank Taman Tun Dr Ismail di sini, antara 31 Oktober 2011 hingga 24 April 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya.