UUM tangguh kemasukan pelajar dari Sabah, zon merah

Dr Hendrik Lamsali
Dr Hendrik Lamsali
A
A
A

ALOR SETAR - Universiti Utara Malaysia (UUM) memutuskan untuk menangguhkan kemasukan pelajar dari Sabah ke kampus universiti itu sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, penangguhan tersebut termasuk pendaftaran pelajar dari kawasan zon merah di negeri lain.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berikutan peningkatan kes pandemik koronavirus (Covid-19) di beberapa negeri selain bimbang dengan risiko keselamatan pelajar terlibat.

"Ia juga selaras dengan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi dan mesyuarat terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Universiti hari ini," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Hendrik berkata, tempoh notis berkenaan tertakluk kepada sebarang perubahan atau pekeliling pengurusan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

"Jika terdapat sebarang masalah, bantuan atau pertanyaan lanjut, pelajar boleh hubungi Pusat Penginapan Pelajar (SAC) di talian 04-928 4154/04-928 4184 atau pejabat Dekan Hal Ehwal Pelajar di talian 04-928 4010," katanya.

Kelmarin, UUM memaklumkan sesi pendaftaran kemasukan pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda sesi 2020/2021 secara bersemuka di universiti itu ditangguhkan.

Hendrik berkata lagi, pendaftaran yang dijadualkan pada 5 dan 6 Oktober ini ditangguhkan kepada 23 dan 24 Oktober 2020, manakala program Minggu Suai Kenal bermula 7 sehingga 8 Oktober berlangsung secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Sesi pendaftaran kemasukan pelajar lama secara bersemuka bagi sesi 2020/2021 yang dijadualkan berlangsung pada 11 Oktober diubah kepada 31 Oktober 2020.

"Sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) yang akan bermula 11 Oktober depan tetap dilangsungkan secara dalam talian," katanya.