Bekas naib canselor UPSI dibenar tangguh hukuman penjara

Zakaria yang hadir bertongkat dibenar tangguh hukuman penjara 18 bulan atas kesalahan salah guna kuasa.
Zakaria yang hadir bertongkat dibenar tangguh hukuman penjara 18 bulan atas kesalahan salah guna kuasa.
A
A
A

IPOH - Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat membenarkan penangguhan hukuman penjara terhadap bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Zakaria Kasa.

Zakaria, 66, dihukum penjara 18 bulan dan denda RM10,000 atas dakwaan salah guna kuasa, sembilan tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Su Tiang Joo membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu berkuat kuasa hari ini sehingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan penangguhan terhadap bayaran denda dan perlu dijelaskan pada tarikh hukuman.

Hukuman penjara enam bulan dikenakan sekiranya tertuduh gagal membayar denda selain wang jaminan RM10,000 dikekalkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, Shahidah Muslimah Roslan dan Noor Hidayah Mohd Saad.

Mengikut pertuduhan, Zakaria didakwa menggunakan jawatannya sebagai Naib Canselor UPSI dengan mengarahkan Pendaftar UPSI memasukkan nama anak lelakinya, Mohd Fauzi Zakaria untuk dipanggil temuduga bagi jawatan jurutera.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik Pejabat Naib Cancelor UPSI antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari pada 24 Jun sehingga 12 September 2014.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Mahkamah Sesyen sebelum ini melepaskan dan membebaskan Zakaria daripada pertuduhan salah guna kuasa memasukkan nama anak lelakinya untuk dipanggil temuduga.

Keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kes berkenaan.