Sila log masuk terlebih dahulu.

Ujian swab Covid-19 Reezal Merican negatif, jalani tugas seperti biasa

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tidak perlu menjalani kuarantin Covid-19 selepas terlibat dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Beliau telah pun menjalani ujian swab Covid-19 dan keputusannya negatif.

Prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan individu yang pulang dari Sabah dan diuji negatif, tidak bergejala serta bukan kontak rapat pesakit Covid-19 tidak diwajibkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Selepas menjalani ujian saringan, mereka akan diberi tempoh kuarantin dan diberikan surat untuk kuarantin di rumah (HSO) atau perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Mereka akan dipakaikan gelang sehingga mendapat keputusan ujian dan kalau keputusannya negatif dan bukan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) atau Individu Dalam Pemerhatian (PUS), akan dibebaskan tanpa perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Hari ini akhbar Sinar Harian melaporkan lima anggota Kabinet perlu menjalani kuarantin selepas pulang daripada kempen PRN Sabah, dan menyiarkan nama Reezal Merican sebagai salah seorang menteri yang terlibat.

Ketika dihubungi, Reezal berkata, beliau telah melalui ujian saringan Covid-19 mengikut SOP KKM.

"Keputusan ujian negatif. Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan sihat dan menjalankan tugas-tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan seperti biasa," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Reezal menambah, beliau sentiasa akur kepada arahan KKM.