Perak hantar 20 anggota perubatan ke Sabah

Seramai 20 anggota perubatan dari semua Pejabat Kesihatan Daerah di Perak telah dimobilisasikan ke Sabah hari ini bagi membantu pasukan perubatan di negeri itu menangani penularan Covid-19. Foto Facebook jabatan Kesihatan Perak
Seramai 20 anggota perubatan dari semua Pejabat Kesihatan Daerah di Perak telah dimobilisasikan ke Sabah hari ini bagi membantu pasukan perubatan di negeri itu menangani penularan Covid-19. Foto Facebook jabatan Kesihatan Perak
A
A
A

IPOH - Seramai 20 orang anggota perubatan dari semua Pejabat Kesihatan Daerah di Perak telah dimobilisasikan ke Sabah.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dalam satu hantaran di laman sosial Facebook hari ini memaklumkan kesemua yang terlibat terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat kesihatan dan penolong pegawai kesihatan persekitaran.

Menurutnya, kesemua mereka bertolak dari JKN Perak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 11.50 malam semalam sebelum berlepas ke Sabah bagi membantu menangani pandemik koronavirus (Covid-19).

"Pasukan telah dibahagikan kepada lima kumpulan di mana penerbangan membawa empat pasukan yang ditugaskan ke Daerah Tawau dijadual berlepas jam 8 pagi.

"Manakala satu pasukan yang ditugaskan ke Daerah Lahat Datu berlepas pada 9.30 pagi," katanya menerusi hantaran Facebook tersebut hari ini.

Jelas JKN Perak, kesemua petugas barisan hadapan itu telah bersiap sedia untuk menjalankan tugas di lapangan untuk membantu rakan-rakan di Sabah dalam usaha negara membendung penularan pandemik Covid-19.

Pada 28 September lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan seramai lima orang Pegawai Perubatan JKN Perak telah dimobilisasi ke Hospital Lahad Datu, Sabah.

Kesemua pegawai tersebut masing-masing dari Hospital Teluk Intan, Hospital Slim River, Hospital Changkat Melintang, Hospital Selama dan Hospital Gerik.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, sehingga semalam, Sabah masih lagi negeri tertinggi merekodkan kes positif harian dengan 35 kes melibatkan rakyat tempatan.

Malah, hampir kesemua negeri dan wilayah di Malaysia dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) dari Sabah.

Menerusi data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, antara negeri yang merekodkan jangkitan dari Sabah adalah Kedah sebanyak dua kes, Selangor (lima), Johor (satu) dan Sarawak (tiga) kes.

Selain itu, Kuala Lumpur dan Terengganu merekodkan tiga kes positif yang turut melibatkan individu pulang dari Sabah, manakala Pahang dan Perlis masing-masing sebanyak dua kes.

Empat negeri dan wilayah lain iaitu Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak masing-masing merekodkan satu kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir semua negeri dijangkiti Covid-19 dari Sabah