13 sekeluarga termasuk lima kanak-kanak maut dalam kemalangan

HYDERABAD - Seramai 13 sekeluarga termasuk lima kanak-kanak maut dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan ke sebuah kuil di negeri Jharkhand di timur India.
Kumpulan dari daerah Nalanda di negeri jiran Bihar itu dalam perjalanan ke Kuil Chhinnamasta di Rajrappa apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah kenderaan berat di lebuh raya pada awal pagi Ahad.
"Berita mengenai 13 nyawa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di NH-33 berhampiran kampung Panki di daerah Ramgarh amat menyedihkan dan menyayat hati,” kata Ketua Menteri Jharkhand Hemant Soren dalam satu hantaran di X.
Menurut laporan media tempatan, mereka dalam perjalanan ke kuil itu untuk memanjatkan doa kesyukuran selepas seorang wanita dalam keluarga itu mendapat pekerjaan sebagai guru dalam perkhidmatan kerajaan.

Wanita itu antara yang maut, lapor akhbar Indian Express.
"Kami menerima panggilan daripada polis yang memaklumkan bahawa kenderaan itu terlibat dalam kemalangan. Kami diberitahu bahawa 13 orang berada di dalam kenderaan itu dan kesemuanya meninggal dunia,” kata Chandan Kumar, yang saudara lelakinya Nandan Kumar memandu SUV berkenaan, kepada agensi berita PTI. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
