Hampir semua negeri dijangkiti Covid-19 dari Sabah

Hampir keseluruhan negeri dan wilayah di negara ini dijangkiti pandemik Covid-19 dari Sabah. - Gambar hiasan
Hampir keseluruhan negeri dan wilayah di negara ini dijangkiti pandemik Covid-19 dari Sabah. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Hampir semua negeri dan wilayah di negara ini dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) dari Sabah.

Menerusi data terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antara negeri yang merekodkan jangkitan dari Sabah adalah Kedah sebanyak dua kes, Selangor (lima), Johor (satu) dan Sarawak (tiga) kes.

Selain itu, Kuala Lumpur dan Terengganu merekodkan tiga kes positif yang turut melibatkan individu pulang dari Sabah manakala Pahang serta Perlis dua kes.

Empat negeri dan wilayah lain iaitu Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak masing-masing merekodkan satu kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak 20 September lalu, pihaknya merekodkan 88 kes positif dikesan dari Sabah.

"Hari ini sebanyak 25 daripada 86 kes penularan dalam negara dikesan mendapat jangkitan ketika berada di Sabah," katanya.

Menurutnya, Sabah masih lagi negeri tertinggi merekodkan kes positif harian dengan 35 kes melibatkan rakyat tempatan.

"KKM mengesan 18 kes dalam saringan bergejala, sembilan kes positif daripada Kluster Bangau-Bangau dan tiga kes kontak rapat kepada kes positif.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, KKM turut mengenalpasti empat individu daripada Kluster Benteng LD didapati positif Covid-19.

"Satu kes saringan kematian di Hospital Tawau turut disahkan positif," katanya.

Beliau berkata, pihaknya merekodkan 13 kes di Kedah termasuk dua yang pulang dari Sabah.

"KKM mengesan lima kes saringan kontak rapat kepada kes positif iaitu kes ke-11,129 dan tiga daripada kluster baharu iaitu Kluster Tembok," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, dua individu bergejala yang disaring di negeri itu turut disahkan positif wabak itu.

"Kluster Sungai merekodkan satu kes baharu," katanya.

Menurutnya, di Selangor, daripada lima kes lain dikesan, masing-masing dua kes bergejala dan saringan masuk kerja.

"Satu kes saringan sebelum pulang ke negara asal yang melibatkan warga asing," katanya.

Katanya, di Johor pula, tujuh kes daripada Kluster Bakawali turut dikesan.

"Kes indeks kluster ini merupakan pasangan suami isteri yang pulang dari Sabah," katanya.

Di Sarawak pula, katanya, satu kes lagi semasa saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dari Semenanjung melibatkan warganegara.

Sementara itu, di Kelantan, KKM mengesan dua kes hasil saringan kontak rapat kepada kes positif ke 11,132.

"Kesemua melibatkan warganegara," katanya.

Selain 86 penularan dalam negara, KKM turut merekodkan tiga kes import yang mendapat jangkitan di Belanda dan Indonesia.

"Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 11,224 kes dengan kes aktif 1,121," katanya.

Sehingga kini, terdapat 16 kes positif dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk tiga memerlukan bantuan pernafasan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster Tembok dikesan di Alor Setar

Pada perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, KKM menerima dua laporan kematian berkaitan Covid-19.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di negara ini adalah sebanyak 136 kes bersamaan 1.21 peratus daripada jumlah keseluruhan," katanya.

Mengulas mengenai kes kematian ke-135, beliau berkata, pesakit berumur 46 tahun dan mempunyai penyakit kencing manis, jantung dan buah pinggang.

"Dia mula bergejala pada 21 September sebelum mengalami sesak nafas tujuh hari kemudian," katanya.

"Pesakit berkenaan kemudiannya di bawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

"Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada hari yang sama jam 6.15 petang," katanya.

Katanya, bagi ke kematian ke-136, ia merupakan warga emas berusia 70 tahun dan mempunyai penyakit barah peringat akhir.

"Pesakit lelaki berkenaan meninggal dunia di rumahnya pada 26 September. Hasil saringan didapati positif Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, katanya, 28 individu disahkan pulih dan dibenar discaj hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih adalah sebanyak 9,967 kes iaitu 88.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 115 kes baharu direkodkan, Sabah sumbang kes tertinggi

Covid-19 berpotensi merebak lebih cepat di Selangor