'Arwah isteri mengadu sakit perut, rupanya kanser tahap empat'

Mohd Faidz hadir bagi menerima skrol Ijazah Sarjana Undang-Undang dalam Pentadbiran Undang-Undang Islam milik Allahyarham pada Sidang Dua konvokesyen itu.
Mohd Faidz hadir bagi menerima skrol Ijazah Sarjana Undang-Undang dalam Pentadbiran Undang-Undang Islam milik Allahyarham pada Sidang Dua konvokesyen itu.
A
A
A

GOMBAK – “Arwah isteri pada awalnya hanya mengadu sakit perut sebelum mengambil ubat tahan sakit bagi meredakan kesakitan yang dialaminya."

Mohd Faidz Leman berkongsi mengenai arwah isterinya, Norazita Mohd Ali,49, ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-42 di sini pada Ahad.

Mohd Faidz hadir bagi menerima skrol Ijazah Sarjana Undang-Undang dalam Pentadbiran Undang-Undang Islam milik Allahyarham pada Sidang Dua konvokesyen itu.

Menurutnya, selepas menjalani pemeriksaan pada Julai lalu, doktor mengesahkan isterinya menghidap kanser usus tahap empat.

Mohd Faidz menerima skrol graduan bagi pihak isterinya, Norazita yang meninggal dunia akibat kanser usus.
Mohd Faidz menerima skrol graduan bagi pihak isterinya, Norazita yang meninggal dunia akibat kanser usus.

“Arwah hanya sempat menjalani tiga kitaran kemoterapi sebelum meninggal dunia pada 25 Oktober lalu dan ia terlalu cepat,” katanya.

Allahyarham merupakan Penolong Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga, Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Mengimbas perjalanan arwah sepanjang pengajian, Mohd Faidz menyifatkan isterinya sebagai wanita yang rajin, berdedikasi dan tidak pernah menjadikan kesibukan menguruskan keluarga sebagai alasan untuk mengabaikan pengajian.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, arwah sanggup berulang-alik dari Alor Gajah, Melaka ke UIAM bagi menghadiri kelas, selain menguruskan rumah tangga dan anak-anak.

“Arwah memang seorang yang rajin dan kuat berusaha.

“Walaupun perjalanan dari Melaka ke Gombak bukan mudah, dia tetap berusaha menghadiri kelas dan menyelesaikan pengajiannya,” katanya.

Mohd Faidz (kiri) hadir bersama anak-anak pada majlis konvokesyen UIAM di Gombak.
Mohd Faidz (kiri) hadir bersama anak-anak pada majlis konvokesyen UIAM di Gombak.

Mohd Faidz berkata, perasaan sayu, sebak dan sedih tidak dapat dielakkan ketika hadir ke majlis konvokesyen itu bersama anak-anak bagi menerima skrol yang sepatutnya menjadi milik arwah isterinya.

“Memang sayu, sebak dan sedih menyelubungi perasaan saya serta anak-anak, namun saya kuatkan diri kerana mahu menghargai usaha arwah isteri sehingga berjaya menamatkan pengajiannya,” katanya.

Sementara itu, anak sulungnya, Muhammad Fitri Najmi, 19, berkata kegigihan ibunya menjadi inspirasi untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

“Saya akan mengambil semangat ibu untuk terus berjaya dan tidak patah semangat dalam meneruskan pengajian sehingga berjaya,” katanya yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!